“IBARAT TEMBOK TANPA TIANG" RAPUHNYA AKIDAH KERANA KEJAHILAN DALAM ASAS AGAMA ISLAM MENJADI PUNCA TERPENGARUH DENGAN AJARAN SESAT


Kemunculan, penularan dan perkembangan ajaran sesat pada ketika ini berada pada tahap yang kritikal dan amat membimbangkan. Sebab utama kemunculan dan berkembangnya ajaran sesat ini adalah kejahilan terhadap agama Islam itu sendiri. Kejahilan ini bukan sahaja pada pengikut malahan juga kepada ketua atau guru ajaran sesat itu sendiri.


Kejahilan itu boleh disimpulkan seperti berikut:

1. Jahil tentang sumber-sumber utama ajaran Islam yang sebenar.

- Perkara ini telah mendorong seseorang individu itu mempelajari mengenai Islam dari sumber yang tidak wajar sehingga ia membuat kesimpulan dan kefahaman yang salah tentang Islam;


- Hasil dari kefahaman yang salah tentang Islam diajarkan pula kepada orang lain. Pengetahuan agama Islam yang cetek, tidak mempunyai asas agama yang kukuh dan longgarnya pegangan iman menjuruskan seseorang individu tersebut mudah terpengaruh dengan ajaran sesat.


  

2. Jahil tentang sifat-sifat serta keilmuan para ulama yang sebenar sehingga tidak tahu dan tidak boleh membezakan antara seseorang yang dirujuk atau diikutinya itu seorang alim atau sebaliknya.


3. Jahil tentang ilmu-ilmu seperti ulum al-Quran, ulum hadis dan usul fiqh yang membantu kepada proses kefahaman yang betul dan tepat terhadap al-Quran dan as-Sunnah.


Implikasi daripada kejahilan tersebut sehingga terjurumus kepada ajaran sesat membawa kemungkinan seseorang itu menjadi murtad kerana syirik atau menyalahi prinsip-prinsip utama ajaran Islam. Dalam keadaaan tersebut, segala ibadah dan amalan yang dilakukan pasti tidak akan diterima dan menjadi sia-sia.


Oleh itu, pihak-pihak bertanggungjawab hatta diri kita sendiri perlu mengambil cakna perubahan-perubahan yang berlaku disekeliling kita supaya ajaran sesat ini tidak mendekati diri dan ahli keluarga malah masyarakat Islam yang lain. Sekiranya tidak ditangani sebaiknya, dikhuatiri akan menimbulkan ancaman keselamatan kepada negara dan keharmonian dalam masyarakat sepertimana yang berlaku pada 2 Julai 2000 yang melibatkan kumpulan al-Maunah.


Sumber: Kertas kerja, Seminar Penerangan Ajaran Salah dan Isu Semasa, 29 JAN 2008

Comments