JADIKAN DIRI SEBAGAI CERMINAN SAHABAT YANG MULIA DENGAN MENUNJUKKAN AKHLAK YANG BAIK DAN DIREDHAI ALLAH SWT


Dalam sesebuah persahabatan, pasti akan ada seorang atau dua daripada teman-teman kita yang akan sentiasa menyokong atau meniru gaya, perbuatan dan cara perlakuan kita. Apa sahaja yang kita buat, pasti akan ditiru tanpa ragu-ragu. Mungkin kerana sudah sekepala atau sudah terlalu rapat dan biasa menyebabkan perlakuan itu sering menjadi bahan tiruan. Akan tetapi, pernahkah kita terfikir apa akan jadi sekiranya kita menjadi contoh yang tidak baik kepada sahabat-sahabat kita? Dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: 

“Seorang laki-laki itu bergantung dengan agama teman pergaulannya (sahabat rapat), maka hendaklah salah seorang melihat siapa yang menjadi teman pergaulan.” (HR Abu Daud).

Cuba lihat di sekeliling kita, ramai kelompok manusia yang berkawan tetapi terjerumus ke dalam aktiviti moral yang merosakkan akhlak. Apatah lagi dengan kemunculan pelbagai ‘group’ yang bebas tetapi melanggar batas syariat Islam di media sosial diwujudkan bagi mempengaruhi golongan manusia terutamanya golongan belia untuk berfikiran bebas seperti orang-orang negara Barat. Apakah kita mahu menjadi sebahagian daripada kelompok tersebut dan sekaligus mengajak teman-teman kita untuk melakukan hal yang sama? Tidak takutkah jika teman-teman kita melakukan hal tersebut lebih ekstrem hingga mengancam nyawa mereka? Siapa yang patut dipersalahkan? Memang pilihan di tangan masing-masing bahkan akan ada yang berkata “pandai buat, pandailah tanggung”, tetapi siapa yang menjadi penyebab mereka jadi sebegitu? Jangan cuba untuk melarikan diri sedangkan kita adalah sebahagian punca mereka terjebak.

Oleh itu, bermuhasabahlah! Ubahlah diri kita agar menjadi seseorang yang lebih baik dan mampu membawa teman-teman kita ke arah kebaikan.  Jadilah cerminan sahabat yang mulia dan jangan sesekali menjadi contoh akhlak yang tidak baik kepada teman. Orang Islam tidak boleh menganiya saudara seislam yang lain. Sebaliknya umat Islam perlu saling mengasihi antara satu sama lain. Ini kerana umat Islam perlu bersatu dan berpadu bagi menyerlahkan keindahan Islam. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

"Orang Mukmin bagi orang Mukmin yang lain itu laksana satu binaan, yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain." (HR Bukhari dan Muslim).

Sumber: Harian Metro (9 November 2020)

Comments