JADILAH GOLONGAN YANG DIREDHAI ALLAH SWT DAN JANGANLAH MENJADI GOLONGAN YANG DIJAUHKAN DARIPADA SYURGA ALLAH SWT
Menjadi golongan yang diredhai oleh Allah SWT adalah impian setiap umat Islam di dunia ini. apatah lagi setelah diceritakan di dalam al – Quran tentang balasan daripada setiap kebaikan yang dilakukan dengan ganjaran pahala dan balasan dosa dengan azab neraka. Namun, ada empat golongan yang dijanjikan oleh Allah dengan balasan jauh daripada syurga atas perbuatan mereka. Siapakah golongan tersebut?
Daripada Abu Bakar as – Siddiq RA, Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Tidak akan masuk syurga seorang penipu, orang yang bakhil, orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya dan pemimpin yang berperangai buruk. Orang yang pertama kali akan masuk syurga adalah hamba yang taat kepada Allah dan kepada tuannya (majikannya).” (HR Ahmad).
Mari teliti amaran daripada Rasulullah SAW tentang golongan-golongan yang dijauhkan syurga Allah SWT daripada mereka. Sudah terang dan nyata bahawa ciri-ciri golongan tersebut adalah yang bertentangan dengan ajaran yang dibawa Baginda menerusi al – Quran dan as – Sunnah. Pertama, golongan penipu. Sifat ini sangat dekat dengan umat manusia apabila mereka menipu untuk kepentingan mereka sendiri. Lebih-lebih lagi di dalam situasi yang tidak menentu sekarang. Kedua, golongan bakhil. Daripada Asma’ binti Abu Bakar RA ia berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tidak memiliki sesuatu kecuali apa yang diberikan oleh Zubair kepadaku, apakah aku harus bersedekah dengannya?” Nabi menjawab: “Ya, dan janganlah engkau bakhil, maka Allah akan bakhil kepadamu.” (HR Tirmizi).
Ketiga, golongan yang sering mengungkit-ungkit akan pemberiannya. Sebenarnya, golongan ini tidak ada bezanya dengan golongan bakhil. Jika golongan bakhil tidak memberi, tetapi golongan ini memberi dalam keadaan tidak ikhlas dan mahukan pembalasan semula. Mereka tidak redha akan pemberian mereka, bukankah itu sebahagian daripada sifat bakhil juga? Allah SWT memberi amaran dalam firmanNya:
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti (perasaan si penerima).” (QS al – Baqarah: 264).
Yang terakhir adalah pemimpin yang berperangai buruk iaitu yang menjauhkan rakyat daripada kehidupan yang sejahtera. Golongan ini sangat ramai di akhir zaman dan situasi ini sangat menakutkan. Kerana dengan adanya para pemimpin seperti ini, pincanglah sesebuah negara dan rakyat akan diperlakukan dengan zalim. Jadi, usahlah kita meletakkan tempat kita di dalam sebahagian daripada golongan-golongan ini. Jadilah seorang Mukmin yang sejati dengan mengikut ajaran Islam yang sebenar dengan menghindari segala sifat mazmumah dan mendekatkan diri dengan sifat mahmudah agar Allah SWT mengasihi dan menyayangi kita. Sabda Rasulullah SAW:
"Sebaik-baik kalian (Muslim) adalah orang yang paling baik akhlaknya." (HR Bukhari).
Sumber: CahayaIslam.net
Comments
Post a Comment