JANGAN MENCELA DAN MENGEJEK-NGEJEK ORANG LAIN SAMA ADA ORANG MUSLIM ATAU BUKAN MUSLIM KERANA IA DILARANG KERAS DALAM ISLAM



Islam adalah agama rahmat dan kasih sayang. Risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW pun bertujuan untuk membawa rahmat ke seluruh alam (QS al-Anbiya: 107). Melalui ayat Quran, Allah SWT memberikan kita petunjuk dalam berakhlak baik, terutama tentang sikap mencela dan mengolokkan orang lain. Allah melarang memperleceh atau meremehkan orang lain tak kira sama ada mereka orang Islam ataupun bukan Islam. Allah SWT berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;...."(QS al – Hujurat: 11).

Sejak kebelakangan ini, pelbagai isu telah berlaku. Maka, daripada itulah timbulnya sikap saling mencela di kalangan manusia. Sebagai contoh, isu yang berlaku baru-baru ini apabila kemenangan peserta Malaysia untuk Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo dibatalkan berikutan aduan yang diterima daripada kontijen negara Ukraine. Berpunca daripada itu, maka berduyun-duyunlah golongan netizen yang menganggap diri mereka sebagai ‘laskar siber’ negara ini menyelar tindakan tersebut. Bukan itu sahaja, para netizen juga bertindak mencaci, mencerca dan menggodam akaun media sosial peserta negara terbabit sebagai satu tindak ‘balas dendam’ yang kononnya dikatakan membela nasib peserta negara ini.

Isu ini bukan berlaku dalam sehari dua, malah ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020 insiden yang sama berlaku ke atas atlet lumba basikal dari Great Britain apabila dibuli oleh para netizen Malaysia kerana menjatuhkan peserta daripada Malaysia. Persoalannya, banggakah kita dengan mencela keperibadian seseorang itu sehingga melibatkan penampilan fizikal (body shamming), mental dan seluruh keturunannya? Apa yang menyedihkan, rata-rata daripada kalangan netizen itu adalah yang beragama Islam! Adakah ini yang diajarkan di dalam agama? Mencela keperibadian orang hingga mengaibkan maruah mereka? 

Perbuatan seperti inilah yang membuatkan agama Islam dipandang rendah oleh orang-orang kafir. Ini kerana pada pemikiran mereka tidak ada bezanya akhlak kita sebagai orang Islam dengan akhlak mereka kerana mereka juga mencela sesama kaum mereka dan orang lain. Malah, ia lebih teruk hingga ada yang sanggup membunuh diri sendiri akibat tidak tahan dicela secara berjemaah. Jadi, di mana letaknya tanda aras akhlak kita? Kita mengaku kita Islam, kita beriman dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW, kita beramal dengan ajaran al – Quran dan as – Sunnah, mengaku bahawa umat Islam ini adalah golongan yang istimewa golongan terpilih, tetapi pada hakikatnya akhlak dan mentaliti kita sama taraf dengan golongan kafir. 

Walaupun bukan golongan Islam sekalipun, kita sama sekali tidak ada hak untuk mencela mereka sesuka hati. Ini bukan lagi terkait soal agama tetapi lebih kepada atas dasar kemanusiaan. Di mana rasa empati kita sebagai manusia terhadap manusia lain, apatah lagi manusia itu berstatus Orang Kurang Upaya (OKU)? Jika orang lain mencela ahli keluarga dan sahabat handai kita, adakah kita akan duduk diam? Ketahuilah, perbuatan mencela, menghina dan meremehkan orang lain ini termasuk dalam kategori sombong sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Sombong adalah sikap menolak kebenaran dan meremehkan manusia.” (HR Muslim).

Sumber: Sinar Harian (28 Februari 2020)

Comments