JANGANLAH SALING MEMBENCI DAN MEMUSUHI SESAMA MUSLIM SEBALIKNYA PUPUKLAH SIKAP SALING BERKASIH SAYANG DEMI MEMBINA KEKUATAN UMMAH
Umat Islam itu saling bersaudara, sepatutnya tidak ada istilah boikot-memboikot atau saling membenci antara satu sama lain. Namun, perselisihan, pergaduhan, salah faham, fitnah-memfitnah dan hidup berpuak-puak itu sering sahaja terjadi kepada umat Islam. Mengapa hal sedemikian berlaku? Ini kerana hasutan pihak-pihak yang menginginkan umat Islam ini sentiasa berbalah kerana mereka takut akan kesatuan Islam yang boleh menghancurkan mereka. Dalam satu hadis daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:
“Janganlah kalian saling membenci, janganlah saling mendengki dan janganlah kalian saling membelakangi dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara, dan tidak halal bagi seorang Muslim mendiamkan saudaranya melebihi tiga malam.” (HR Bukhari).
Hayati pesanan Rasulullah SAW dalam hadis tersebut, sudah terang lagi bersuluh Islam melarang kita umat Islam untuk saling membenci, iri hati dan menikam belakang Muslim yang lain. Kebencian adalah satu perasaan tidak sukakan sesuatu atas sebab sesuatu yang buruk. Rasulullah SAW telah melarang kaum Muslimin dari benci-membenci sesama mereka yang bukan kerana Allah SWT, sebaliknya disebabkan hawa nafsu, lantaran kaum Muslimin itu adalah bersaudara yang saling berkasih sayang.
Seharusnya sebagai seorang Muslim yang mengikut kepada ajaran al – Quran dan as – Sunnah, kita digalakkan untuk sentiasa berkasih sayang sesama saudara seagama kita dan bukannya saling bercakaran dan bertengkar. Lebih-lebih lagi apabila sudah melebihi tiga malam tidak menegur, ini sangat dilarang dalam agama Islam kerana dikhuatiri akan terputus tali persaudaraan sesama umat. Ini yang dimahukan oleh musuh-musuh Islam! Mahu melihat kehancuran ummah atas perbuatan tangan mereka. Sudah tiba masanya kita meninggalkan sifat mazmumah ini demi kebaikan semua umat Islam.
Islam adalah agama yang rahmah dan agama kedamaian. Jangan cemarkan imej agama Islam hanya kerana kehendak tuntutan nafsu kita sendiri. Kelak, Islam dipandang hina akibat perbuatan umatnya yang tidak selari dengan apa yang diajarkan oleh agama. Marilah sama-sama kita memupuk sifat berkasih-sayang sesama Muslim dan buang semua perasaan ego yang bersarang di dalam hati kerana sesungguhnya ia akan membuat penyesalan ke atas kita di masa hadapan. Firman Allah SWT:
“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (QS –Al-Hujurat: 10).
Sumber: Balai Dakwah Sragen (http://www.balaidakwahsragen.com/2019/10/dilarang-benci-dan-dengki-dengan-sesama.html)
Comments
Post a Comment