JAUHILAH SIFAT BURUK SANGKA KERANA IA ADALAH PENYAKIT HATI YANG SANGAT DIMURKAI OLEH ALLAH SWT

Sebagai seorang Muslim, seharusnya kita menjauhkan diri daripada sifat buruk sangka kepada manusia. Sifat buruk sangka ini adalah salah satu sifat mazmumah dan penyakit hati yang sangat dimurkai oleh Allah SWT. Apabila timbulnya buruk sangka dalam diri, maka sudah tentu rasa ingin mencari kesalahan seseorang itu muncul hingga tidak lagi mempedulikan aib dan kekurangan individu tersebut.


Lebih menakutkan, sifat buruk sangka boleh membawa kepada perpecahan ummah dan ini amat disukai oleh musuh-musuh Islam yang sememangnya menjadi impian mereka untuk melihat kita semua berpecah. Allah SWT mengingatkan, sebahagian prasangka itu perbuatan dosa kerana ia timbul daripada rasa iri hati atau dengki terhadap seseorang. Dosa orang yang buruk sangka adalah besar dan termasuk dalam perbuatan jahat. Firman Allah SWT:


"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.” (QS al – Hujurat: 12).


Rasullullah SAW juga bersabda:


"Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta...(HR Bukhari).


Melalui kemajuan teknologi maklumat zaman sekarang, dengan kehadiran pelbagai platform media sosial, ia banyak disalahgunakan. Dengan pelbagai capaian maklumat yang mudah diperolehi kini, ramai warga internet yang bertindak sewenang-wenangnya menghina dan mencerca individu tertentu melalui berita yang diterima tanpa sebarang usul periksa. 


 Ini adalah satu ‘penyakit’ manusia di zaman ini apabila terlalu berburuk sangka sesama manusia apabila percaya bulat-bulat akan berita yang dibawa terutamanya apa yang diviralkan di media sosial.


Sebagai umat Islam, apakah ini yang diajar oleh agama kita? Bahkan, di dalam al – Quran Allah SWT telah menegaskan dalam surah al – Hujurat, ayat 6 yang bermaksud:


“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”


Oleh itu, sesiapa yang mempunyai sifat buruk sangka dengan sesama Islam, maka ia wajib bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT. 


Sifat orang beriman adalah sentiasa bersangka baiklah sesama Mukmin dan jika terbukti ada pihak yang mahu melakukan perkara yang tidak baik, Allah SWT akan membuka kebenarannya kelak tanpa perlu kita minta.


Oleh itu, berhati-hatilah dalam kehidupan kita sehari-hari termasuklah pergaulan dan perbuatan kita di media sosial. Elakkan perasaan iri hati dan buruk sangka sesama kita. Insya-Allah, keharmonian dan kesejahteraan hidup sesama masyarakat pasti akan dicapai. Malah, hati kita juga akan menjadi lebih tenang.


Sumber: Berita Harian (13 Jun 2017)

Comments