KESESATAN GOLONGAN LIBERAL!!! MEMPERJUANGKAN HAK KESAMARATAAN WANITA YANG BERCANGGAH DENGAN SYARIAT ISLAM


Menurut sejarah, fahaman liberal sebenarnya muncul ketika meletusnya Revolusi Perancis pada tahun 1789. Perjuangan pekerja menerusi slogan kebebasan (liberte), kesamaan (egalite), dan persaudaraan (fratenite) telah menjadi prinsip bagi penyingkiran kekuasaan.

Dari sudut prinsip kesamarataan, liberalisme memberikan makna ke atas prinsip tersebut dimana ia amat berkait rapat dengan kecenderungan perjuangan golongan feminis iaitu prinsip persamaan jantina. Perkara ini membawa kepada lahirnya istilah gender, kepupusan kawalan sosial terhadap seseorang dan runtuhnya institusi kekeluargaan.

Sebagai contoh, golongan liberal beranggapan bahwa wanita berhak menentukan corak kehidupannya sendiri dan dalam menentukan corak kehidupan itu ia tidak memerlukan sebuah kehidupan berkeluarga. Mereka menentang ungkapan wanita hanya berfungsi untuk melahirkan anak atau ‘kilang bayi’, malah menganggap sebagai satu penghinaan terhadap kaum wanita.

Sedangkan menurut Islam fungsi perkahwinan adalah untuk memperbanyakkan zuriat sebagai kesinambungan kehidupan. Oleh kerana golongan liberal kecewa dengan tanggapan tersebut, maka prinsip liberalisme ini menakankan bahawa wanita berhak menentukan nasibnya sendiri. Tidak seorang pun boleh memaksa atau berhak untuk menyekatnya. Wanita menjadi kuasa baru dalam pelbagai hal termasuklah bidang politik, pengurusan mahupun ekonomi.

Fenomena ini dilihat semakin berkembang di seluruh dunia. Nisbah yang hampir sama antara lelaki dan wanita menyebabkan nilai masyarakat terhadap kehidupan wanita telah berubah. Untuk membuka pasaran dan mencari keuntungan, perlu ada produk khusus untuk wanita, maka produk yang berkait dengan keperluan wanita semakin banyak sama ada berupa pakaian, barangan kecantikan, perhiasan dan sebagainya. Pengusaha-pengusaha perniagaan yang diketuai oleh wanita semakin menjadi trend dan fenomena ini turut jelas berlaku di Malaysia. 

Dari perspektif Islam, fahaman liberal yang cenderung ke arah menaikkan semangat feminisme sangat bahaya. Hal ini kerana konsep liberal dikaitkan dengan kebebasan untuk memilih agama dan mengamalkan apa yang dipercayainya selaras dengan prinsip rasional seseorang. Sekiranya lelaki mempunyai hak, maka wanita pun mempunyai hak yang sama. Itulah yang dinamakan sebagai prinsip kesamarataan yang diagungkan oleh golongan liberal walau bercanggah dengan prinsip agama.

Sumber:  Berita Harian, 5 Disember 2014

Comments