KESESATAN ISLAM LIBERAL!!! KEKELIRUAN MENTAFSIRKAN KONSEP 'WASATIYYAH' (KESEDERHANAAN) DALAM MEMPERJUANGKAN HAK KEBEBASAN INDIVIDU YANG BERCANGGAH DENGAN ISLAM
Salah satu prinsip utama yang dipegang oleh golongan liberal adalah agama dilihat sebagai hak peribadi. Konsep baik dan buruk dinilai berdasarkan perspektif individu, perspektif masyarakat tidak lagi menjadi pandangan atas alasan hak kebebasan. Melalui pemahaman itulah masyarakat Islam sering mendengar kata-kata yang sepertinya sudah menjadi normalisasi bagi menghalalkan apa yang dilakukan.
Umpamanya, kita sering mendengar ungkapan ‘aurat tidak perlu ditutup, yang penting ada iman’, ‘mulut sahaja yang jahat, tetapi hati baik’, ‘orang berzina tidak boleh dihukum kerana kerelaan pasangan’ dan sebagainya. Prinsip Islam liberal ini secara jelasnya adalah bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar, namun nilai-nilainya didapati semakin berkembang dan menjadi budaya dalam masyarakat.
Prinsip Islam liberal yang didokong oleh beberapa golongan seperti kumpulan G25 sehingga pernah membuat kontroversi suatu ketika dahulu menggesa penubuhan jawatankuasa perunding bagi membincangkan untuk meminda, memansuhkan beberapa undang-undang syariah, malah mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kesalahan khalwat kerana melanggar hak individu.
Kenyataan tersebut kononnya mendukung pendekatan 'wasatiyyah' sepertimana yang diimplimentasikan oleh negara melalui konsep 4K (kesederhanaan, keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan), namun ternyata golongan liberal tersebut sebenarnya hanya mempromosikan amalan liberal yang ekstrem yang manfsirkan konsep 'wasatiyyah (kesederhanaan) mengikut acuan Barat bukannya ajaran Islam. Pandangan sebegini pada asasnya tidak menepati maksud sebenar pendekatan 'wasatiyyah' yang sepatutnya mencakupi kecemerlangan dan keadilan dalam semua perkara, sebaliknya apa yang dipromosikan oleh mereka bukan kesederhanaan tetapi liberalisme ekstrem sehingga memesongkan agama Islam sebenar.
Walaupun perkembangan Islam liberal di Malaysia masih terkawal dan tidaklah sehebat di Indonesia melalui bentuk pertubuhan dan organisasi, namun pihak kerajaan dan pihak berkuasa perlu bertindak tegas menghadapi ancaman fahaman dan pemikiral liberal ini daripada terus mengeruhkan keharmonian penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.
Sumber: Berita Harian, 5 Disember 2014, 19 Disember 2015
Comments
Post a Comment