KUKUHKAN UKHWAH SESAMA MUSLIM KERANA IA ADALAH KUNCI KESEMPURNAAN IMAN DAN FAKTOR KEJAYAAN MEMBINA NEGARA


Ukhwah atau persaudaraan merupakan nikmat dari kekuatan iman dan ketakwaan yang melahirkan perasaan kasih sayang yang mendalam, rasa saling percaya mempercayai dan hormat-menghormati, sesama insan yang terikat dengan akidah Islamiah. Kesinambungan daripada perasaan ini melahirkan keikhlasan yang tidak berbelah bahagi untuk saling tolong-menolong, berkasih sayang, saling memaafi, setia kawan, dan sikap mulia lainnya. Tidak akan ada ukhwah tanpa iman dan takwa dan begitu juga sebaliknya.

Kita sering mendengar di dalam syarahan, ceramah mahupun debat agama tentang pentingnya nilai pengukuhan ukhuwah sesama umat Islam. Akan tetapi, berapa ramai di antara kita yang mengamalkannya? Tidak sampai 10% pun. Masing-masing di kalangan kita lebih memilih untuk hidup berpuak-puak, berkelompok dan berkumpulan dengan mengamalkan semangat assabiyyah. Inikah cara yang diajar oleh junjungan besar kita Rasulullah SAW? Asalkan tidak sependapat, sehaluan atau lebih tepat lagi sebulu, mulalah masing-masing membawa haluan sendiri tanpa adanya musyawarah untuk mencari jalan penyelesaian. Jika begini keadaannya secara berterusan, bagaimana negara kita hendak maju?

Daripada Anas RA, Nabi SAW bersabda: 

“Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya”. (HR Bukhari).

Wahai umat Islam sekelian, perkukuhkanlah ukhuwah sesama Muslim mulai hari ini. Tidak sempurna iman kita sebagai umat Islam jika kita memutuskan tali silaturahim dan ukhuwah kita sesama manusia. Kesempurnaan iman seseorang itu ditunjukkan dengan sifat mengasihi saudara Muslim yang lain seperti ia mengasihi dirinya sendiri. Jadikanlah peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW ke Yathrib (Madinah) untuk mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar sebagai pedoman kepada kita dalam mengukuhkan ukhuwah sesama Muslim seterusnya membangunkan semula negara Malaysia. Lihatlah apa yang terjadi kepada kota Madinah, bersinar, membangun, maju dan diangkat sebagai salah satu kota suci kerana ukhuwah yang terbina di antara golongan Muhajirin dan Ansar. Mereka saling berganding bahu, tolong-menolong di antara satu sama lain demi mendaulahkan Islam di Tanah Arab. 

Langkah strategik Baginda mempersaudarakan ini demi memastikan ikatan ukhuwah dan persaudaraan dalam kalangan penduduk Madinah kukuh terpatri. Ia menjadi faktor utama kepada kejayaan pembinaan Sahifah Madinah, perlembagaan yang dapat mengikat ukhwah dan kecintaan kepada negara sehingga Madinah menjadi negara yang maju dan makmur serta masyarakatnya hidup dengan aman damai meskipun berbilang bangsa dan agama. Lihat, Baginda Rasulullah SAW telah memberikan kita panduan bagaimana untuk kita membina sebuah negara berjaya dengan cara sentiasa mengukuhkan ukhuwah sesama Muslim. Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan perpaduan bersama. Umat Islam itu bersaudara, tidak boleh menyakiti di antara satu sama lain. Sabda Rasulullah SAW:

“Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain.” (HR Bukhari dan Muslim).

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Comments