PENGISYTIHARAN TAUBAT SITTAH AN-NUR 'PERJALANAN MIMPI YANG TERAKHIR (PMYT). MASIH PERLU DIPANTAU BAGI MENGELAKKAN SEJARAH TAUBAT PENGIKUT AL-ARQAM SEBELUM INI BERULANG

 

Tanggal 27 September 2021, Malaysia telah menyaksikan secara langsung melalui platform media sosial lafaz taubat (istitabah) secara terbuka oleh ketua ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang dikenali sebagai Sittah An-Nur.

Menurut fatwa, 'istitabah' adalah seseorang yang diertikan sebagai Islam tetapi mengamalkan cara hidup bukan Islam tidak boleh dihukum sebagai murtad atau disifatkan telah murtad. Sebaliknya individu tersebut melalui perintah Mahkamah Tinggi Syariah perlu menjalani program pemurnian akidah terlebih dahulu mengikut satu tempoh yang dirasakan sesuai dan wajar. Namun, sekiranya individu tersebut setelah menjalani program tersebut telah bertaubat, maka mahkamah hendaklah membatalkan kes murtad orang itu.

Pengisytiharan secara terbuka disaksikan oleh empat orang alim ulama itu bertujuan supaya masyarakat mengambil iktibar dan pengikut PMYT turut segera bertaubat. Namun, pengisytiharan taubat tersebut tidak bermakna 'legasi' PMYT telah berakhir dan pihak berkuasa haruslah membuat pemantauan secara berterusan. Dalam hal ini, peristiwa taubat pengasas ajaran sesat kumpulan al-Arqam dan pengikut-pengikutnya sebelum ini hendaklah dijadikan iktibar.

Berikutan daripada tingkahlaku ganas yg dilakukan oleh Kumpulan Al-Arqam suatu ketika dahulu walaupun sudah mengisytiharkan taubat secara terbuka perlu diambil iktibar kerana kesannya yang mampu mengancam keselamatan negara selain merosakkan imej Islam dan akidah umat Islam.

Jika diimbas kembali, pengisytiharan taubat istitabah yang dilafazkan ketua Al-Arqam pada ketika itu hanya sekadar lafaz sahaja. Sebaliknya Al-Arqam terus bergerak walaupun bukan menggunakan nama yang sama, namun mereka berselindung di bawah syarikat dan perniagaan iaitu Rufaqa' Sdn Bhd dan kemudiannya ditukar kepada Global Ikhwan Sdn Bhd. Namun pada hakikatnya masih ramai pengikut ajaran Al-Arqam tidak pernah berubah dengan keyakinan sesat mereka itu walaupun telah beberapa kali ditangkap oleh pihak berkuasa. Ajaran al-Arqam tetap dihati mereka sehingga memberi ancaman keselamatan kepada masyarakat.

Oleh itu, masyarakat perlu berhati-hati supaya tidak mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran sesat yang secara jelasnya memesongkan akidah. Pihak berkuasa dan pihak berwajib yang lain turut perlu memainkan peranan supaya tiada anasir-anasir hasutan mahupun perekrutan untuk melakukan keganasan yang dibuat oleh kumpulan-kumpulan ajaran sesat biarpun ketua atau pengasasnya sudah mengisytiharkan taubat.

Peristiwa yang lepas perlu dijadikan iktibar supaya tidak berulang sejarah yang tidak diingini. Bukan untuk menidakkan taubat seseorang ketua ajaran sesat, namun tidak salah untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

Sumber: Berita Harian - 27 SEPT 2021, e-sumber matlamat fatwa - JAKIM, ustazkhalil Blogspot - 09 NOV 2013


Comments