SEBARKAN KASIH SAYANG DI DUNIA AGAR MENDAPAT RAHMAT DAN KASIH SAYANG ALLAH DI DUNIA DAN AKHIRAT


Allah mencipta manusia dalam pelbagai bangsa dan warna kulit untuk mereka saling kenal mengenal dan hidup berkasih sayang dan saling menghormati. Menyayangi sesama manusia diserlahkan dengan cara menunaikan tanggungjawab yang menjadi hak orang lain yang berada di sekeliling kita. 

Perasaan kasih dan sayang ini bukanlah tertakluk hanya kepada dua hati di antara pasangan yang bercinta.  Perasaan  tersebut sepatutnya merangkumi kasih sayang kepada seluruh alam dan makhluk ciptaan Allah SWT di muka bumi ini. Namun, apa yang lebih diutamakan adalah perasaan kasih sayang di antara para hati yang mempunyai jiwa yang hidup kerana Allah SWT. Menyebarkan kasih sayang sesama manusia sangat dituntut di dalam agama Islam. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW: 

“Allah tidak akan menyayangi sesiapa yang tidak menyayangi manusia.” (HR Bukhari). 

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW juga bersabda: 

“Orang-orang yang penyayang, maka Allah Ta'ala akan menyayangi mereka (memberikan rahmat kepada mereka), sayangilah penduduk bumi, niscaya penduduk langit akan menyayangi kalian.” (HR Abu Daud dan at-Tirmidzi). 

Lihat, betapa indahnya ajaran Islam dan betapa Maha Pemurahnya Allah SWT. Mudahnya untuk kita mendapatkan rahmat dan kasih sayang Allah SWT sama ada di dunia mahupun di akhirat sana hanya dengan menyebarkan kasih sayang sesama manusia dan makhluk Allah SWT yang lain di muka bumi ini. Akan tetapi, mengapa kita perlu memilih untuk sentiasa bermusuh dan menyebarkan kebencian? 

Lihatlah apa yang terjadi pada hari ini, sesama agama dan bangsa saling mengkeji, mencaci, berpecah – belah hanya kerana hal yang remeh. Apatah lagi dengan hadirnya pelbagai kecanggihan teknologi dan lambakan platform media sosial. Ini semakin membutakan hati dan perasaan manusia dan mereka saling bertelagah untuk mendabik dada dan mengatakan bahawa merekalah yang betul dari segala segi dan cara. Seharusnya, penggunaan media sosial adalah untuk mengeratkan lagi jalinan hubungan sesama manusia. Tetapi lebih digunakan untuk mengeruhkan lagi ukhwah lebih-lebih lagi sesama umat Islam. 

Ketahuilah bahawa Allah SWT menciptakan manusia supaya dapat berkasih sayang antara satu sama lain. Kasih sayang terbina atas sifat rahmat Allah SWT terhadap hamba-Nya dan kerana itulah manusia diciptakan. Firman Allah SWT: 

"Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. Melainkan mereka yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah (kasih sayang) mereka diciptakan." (QS Hud: 118-119). 

Namun, jika persengketaan menjadi pilihan, maka Allah SWT akan menghukum mereka dengan kehinaan. Oleh itu, kita melihat nama ar-Rahman adalah salah satu nama dan sifat Allah SWT. Lantaran itu, asuhlah hati kita agar dapat menyayangi orang lain di atas dasar iman tanpa mengira Muslim mahupun non Muslim agar kita pula sentiasa disayangi oleh Allah SWT. Hentikanlah sikap saling memusuhi dan gantikanlah sikap berkasih sayang sesama manusia kerana Allah SWT. 

Sumber: Denai Hati (https://denaihati.com/berkasih-sayang-di-dunia-naungan-di-padang-mahsyar)

Comments