AKIDAH DAN SYARIAH ISLAM YANG BENAR ASAS UTAMA AGAR TIDAK TERJEBAK DALAM AJARAN SESAT YANG SEMAKIN BERKEMBANG

 


Ukuran yang tepat bagi memastikan sesuatu ajaran, pemikiran dan tindakan itu salah atau  benar, sesat atau tidak adalah dengan melihat sejauh mana ianya bersesuaian dan selari dengan Islam iaitu sejauh mana ianya bertepatan dengan kehendak akidah dan syariah Islam yang dijelaskan menurut al-Quran dan as-Sunnah.

Pada kebiasaannya, ajaran salah atau sesat ini dihubungkan dengan perjalanan tasawwuf dan tariqat bagi menarik minat masyarakat Islam. Sebenarnya, ajaran tariqat dan tasawwuf tidak sesat kerana ia merupakan jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT mengikut amalan alim ulama kesufian terdahulu. Namun jika kita perhatikan dengan teliti fenomena ajaran sesat yang berlaku di dalam dan luar negara masa kini, ternyata ianya terpengaruh oleh ajaran batiniah yang dikatakan tariqat atau tasawwuf yang terpesong dari ajaran tariqat dan tasawwuf mengikut amalan ulama sufi dan tasawwuf yang benar. 

Ajaran sesat tersebut memang jauh tersasar daripada ajaran tariqat dan tasawwuf yang benar yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Ajaran sesat tersebut yang bertopengkan ajaran tariqat dan tasawwuf sebenarnya cuba meruntuhkan Islam kerana menyeleweng dalam hal akidah, menggugurkan  'taklif' (kewajipan dan tanggung jawab) dan syarak, menafikan Muhammad SAW dan syariatnya, seolah-olah ajaran tersebut membuat syariat sendiri yang bercanggah dengan akidah dan syariat yang berdasarkan al-Quran serta as-Sunnah.

Tidak kurang juga ada yang mendakwa kesempurnaan dirinya kerana adanya ‘hakikat Muhammad yang batin’ dalam dirinya, ada yang menafikan ketuhanan Allah dengan mengaku dirinya Tuhan bertujuan untuk membebaskan diri daripada larangan dan perintah syarak lebih-lebih lagi dalam pengamalan berkaitan kepuasan hawa nafsu terutamanya berhubung soal seks dan kewangan.

Dalam perkara ini, ulama sufi sepereti Imam Ghazali telah menegaskan bahawa jika kamu melihat seseorang berjalan di atas air sedangkan dia melakukan larangan dan tegahan syarak, ketahuilah bahawa dia adalah syaitan. Menurut al-Syeikh Ahmad Fathullah Jamiy pula, apa yang dituntut pada setiap orang mukmin ialah berpegang teguh dengan syariat. Manakala tariqat itu sebahagian daripada syariat, bukan mengatasi syariat seperi yang difahami dan diamalkan oleh kumpulan tariqat yang sesat. Beliau menegaskan lagi, syariat itu adalah asal dan tariqat itu adalah cabang baginya, sementara hakikat pula adalah hubungan antara syariat dan tariqat.

Sedarlah wahai umat Islam bahawa kita telah berada di ambang akhir zaman. Siap sediakan diri dengan akidah dan syariah yang betul berasaskan al-Quran dan as-Sunnah kerana ia menjamin kita untuk terus berada dalam ajaran Islam yang sebenar.

Sumber: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus


Comments