AMALKAN 'TABAYYUN' (MENYELIDIKI KESAHIHAN) SEBELUM MENYEBARKAN BERITA YANG DITERIMA BAGI MENGELAKKAN FITNAH TERUS BERLELUASA
Salah satu cara yang paling ampuh bagi mengelakkan penyebaran berita palsu atau fitnah adalah melalui 'tabayyun' iaitu menyemak, menyiasat atau meneliti terlebih dahulu sebarang berita atau maklumat yang diterima.
Oleh itu, Islam mengajar umatnya tentang konsep 'tabayyun' supaya memeriksa kesahihan setiap maklumat yang diterima sebelum disebarkan untuk mengelakkan sebarang penyebaran fitnah, maklumat palsu atau tidak benar dan sebarang niat yang tidak elok melalui penyebaran maklumat tersebut.
Di zaman teknologi serba canggih ini, apatah lagi dengan kehadiran bermacam jenis laman sosial menjadikan kita terlalu taksub dengan dunia teknologi tanpa sempadan hinggakan segala maklumat yang diperolehi hari ini semuanya mudah di hujung jari. Namun, dalam kita seronok menerima maklumat, adakah kita selidiki dulu kesahihannya sebelum menyebarkan ke serata laman sosial kita? Dan lebih menyedihkan, sebaran itu disertai dengan kata-kata nista malah tidak keterlaluan jika dikatakan lebih kepada mencela.
Sabda Rasulullah SAW:
“Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur dan barat.” (HR Bukhari).
Ingatlah, setiap apa yang kita cakap dan tulis itu semua diambil kira oleh Allah SWT dan dicatat oleh para malaikat untuk dipersembahkan di hari akhirat. Pastikan dahulu apa yang kita luahkan itu datangnya daripada sumber yang sahih dan bukannya secara berantai yang disampaikan oleh suatu pihak kepada pihak yang lain. Boleh jadi di pertengahan keadaan cerita sudah berubah sama sekali. Rasulullah SAW bersabda:
“Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun).” (HR Muslim).
Akhir zaman menyaksikan begitu banyak fitnah dan penipuan berleluasa. Ada pihak yang menuduh tanpa bukti yang kukuh dan ada pihak yang begitu dangkal mempercayai berita yang tidak tahu di mana asal kesahihannya. Jangan jadikan diri kita sebahagian daripada golongan tersebut. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu orang yang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum dengan tidak mengetahui, maka jadilah kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (QS al – Hujurat: 6).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment