AWAS!!!! 4 PRINSIP PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL YANG MENYESATKAN. BERHATI-HATILAH!!!

 


Greg Barton, seorang tokoh yang mendokong Islam Liberal di Indonesia menyatakan bahawa terdapat empat rukun asas bagi ajaran Islam liberal, iaitu:

1. Berijtihad mengeluarkan hukum Islam untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.
2.   Mengamalkan konsep Rasionaliti berdasarkan logik akal dan menggerakkan pembaharuan (agama)
3. Menerima pluralisme dalam kehidupan sosial dan beragama.
4. Memisahkan agama dari politik.

Menurut Ulil Absar Abdalla, penulis Jaringan Islam Liberal (JIL), gerakan Islam liberal muncul untuk menjadi neraca bagi menyeimbangkan wacana kewajipan dan kebebasan dalam Islam. Hal ini kerana menurut beliau, diskusi berkenaan Islam terlalu dipenuhi dan didominasi subjek fiqh, yang lebih memberi penekanan pada soal kewajipan dan halal haram sehingga mengecilkan ruang bagi perbincangan tentang hak asasi dan kebebasan.

Beliau turut menyanggah konsep penciptaan manusia untuk menyembah dan mengabdikan diri kepada Tuhan, kerana konsep ini dianggap memberikan konotasi bahawa manusia dan Tuhan itu adalah berseteru antara satu sama lain, maka manusia mesti ditundukkan. Beliau menyatakan bahawa tujuan tertinggi penurunan agama ialah bagi mengangkat martabat kemanusiaan, kerana fokus utama dalam agama ialah manusia itu sendiri bukan semata-mata Tuhan.

Berdasarkan tema-tema yang diangkat oleh pemahaman liberal ini dilihat amat jauh terpesong dari ajaran Islam yang sebenar. Perkara berkaitan hukum berkaitan syariah bukanlah suatu perkara yang boleh dikompromi dan dijalankan mengikut kesesuaian masa, namun Islam itu tidak kejam kerana terdapat banyak 'rukhsah' (kemudahan atau keringanan) yang dianjurkan dalam situasi tertentu mengikut syarat-syaratnya.

Oleh sebab itu, umat Islam perlu mendalami Islam untuk mengetahui dengan lebih mendalam ‘selok-belok’ ajaran al-Quran dan as-Sunnah yang sesuai diaplikasikan sepanjang zaman. Jangan sesekali mudah terpengaruh dengan pemikiran kumpulan Islam liberal walaupun nampak seolah-olah memperjuangkan hak kebebasan manusia. Islam telah menggariskan dengan lengkap dari segenap aspek untuk mengatur kehidupan manusia menjadi insan yang sempurna dan kehidupan yang sejahtera. 

Jika kita memahami sepenuhnya bagaimana Allah SWT mengatur hak kebebasan manusia di muka bumi ini seperti dijelaskan dalam al-Quran dan diperincikan melalui hadis-hadis Nabi SAW, maka pasti tidak akan timbulnya kenyataan yang mengatakan Islam mengongkong kehidupan dan  perlunya diperjuangkan hak kebebasan individu. Semua pemikiran tentang hak kebebasan tersebut adalah pemikiran kebebasan Barat yang merosak kehidupan dan menyesatkan.

Sumber: al-Bayan, siri 12 – YB Senator Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad al-Bakri


Comments