BAHAYA HIZBUT TAHRIR!!! BOLEH MENGGUGAT KESTABILAN POLITIK NEGARA DENGAN MENYERU UMAT ISLAM SUPAYA MENOLAK SISTEM DEMOKRASI DAN PILIHANRAYA YANG DIANGGAP HARAM


Sebelum ini kumpulan Hizbut Tahrir memang tidak terlalu dikenali di Malaysia dan tidak mendapat perhatian umum apatah lagi kemampuannya mempengaruhi masyarakat untuk menggulingkan kerajaan. Namun, akhir-akhir ini kumpulan Hizbut Tahrir yang telah difatwakan sesat oleh JAKIM dan beberapa Jabatan Agama Negeri, kelihatan semakin aktif terutamanya di media sosial untuk menyebar fahamannya yang ekstrim dan bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antara ideologi kumpulan Hizbut Tahrir yang cuba disebarkan kepada umat Islam di negara ini ialah haramnya sistem demokrasi dan pilihanraya kerana ia adalah sistem Barat yang tidak mengikut syariat Islam.

Ideologi ini banyak disebarkan melalui ceramah,  forum malah melalui media sosial terutamanya melalui laman sesawangnya mykhilafah.com dan Sotun Nahdah. Bahayanya adalah kumpulan Hizbut Tahrir menyeru umat Islam supaya menyokong usaha mereka untuk menentang sistem pilihanraya dan sistem demokrasi kerana menganggap ianya adalah sebahagian daripada sistem Barat yang kufur. Sedangkan keharusan dan bolehnya menggunakan sistem demokrasi dan pilihanraya dalam pemerintahan negara dalam zaman sekarang ini telah dibincangkan secara terperinci oleh semua ulama dunia yang terkenal dan berwibawa.

Hizbut Tahrir mempercayai bahawa perjuangan untuk menegakkan Khilafah Islamiyah adalah haram dan berdosa jika melalui sistem demokrasi. Mana-mana pihak termasuk umat Islam sendiri yang terlibat dalam memperjuangkan sistem demokrasi dianggap kufur. Bagi Hizbut Tahrir,  pemimpin yang menyokong sistem demokrasi  ini wajib untuk ditumbangkan dan sampai satu tahap pemimpin dan umat Islam yang menyokong pemimpin tersebut juga halal untuk diperangi.

Ideologi ini sebenarnya menyamai ideologi kumpulan militan seperti Al-Qaeda, Daesh dan kumpulan militan lain yang tidak mengiktiraf kerajaan Islam sekarang ini kerana dianggap kufur dan boleh diperangi.

Menurut Hizbut Tahrir, selagi tidak tertegaknya Khilafah, maka selagi itulah umat Islam berada dalam keadaan berdosa. Malah bagi Hizbut Tahrir proses terakhir untuk menegakkan khalifah dalam sesebuah negara ialah dengan mensyaratkan wajib bagi umat Islam untuk meminta pertolongan dengan mana-mana kuasa yang kuat sama ada Islam atau bukan Islam. 

Bagi mereka, jika Amerika Syarikat sekalipun sudi untuk membantu umat Islam untuk membina Khalifah, maka mereka boleh meminta pertolongan daripada kuasa tersebut. Ideologi ini adalah ideologi sesat dan membahayakan keselamatan negara ini yang perlu dibendung daripada terus merebak.

Bagi rakyat Malaysia yang bakal menjalani Pilihanraya Negeri di beberapa buah negeri dalam jangka masa terdekat ini seharusnya tidak mudah terpengaruh dengan ideologi dan sentimen yang dimainkan oleh Hizbut Tahrir ini. Dalam negara yang mempunyai masyarakatnya majmuk, ideologi Hizbut Tahrir tersebut sudah semestinya akan mengkucar kacirkan perpaduan masyarakat dan menjejaskan keselamatan negara sekiranya tidak dibanteras dengan sebaiknya.

Jika menurut hukum Islam sekalipun dalam memilih pemimpin, adalah tidak menjadi satu kesalahan untuk dilakukan melalui sistem demokrasi jika kena pada syarat-syaratnya. Dalam sistem ini juga setiap lapisan masyarakat yang layak mengundi mempunyai peluang yang sama untuk memilih calon-calon pemimpin yang beriman sebagai wakil rakyat yang memimpin rakyatnya ke jalan yang diredhai Allah. 

Jika demokrasi menjadi satu-satunya jalan untuk kita sebagai umat Islam dalam memilih pemimpin, maka ambillah peluang ini sebaiknya sebagai pengundi untuk memilih pemimpin yang terbaik kerana ianya dianggap sebagai menjalankan sebahagian tanggungjawab dan amanah dalam membina sebuah negara yang diredhai Allah. Jika sesuatu perkara itu boleh diselesaikan melalui jalan yang aman, mengapa perlu memilih untuk berperang ? Fikir-fikirkanlah.

Sumber: Bahagian Penyelidikan Alhaqcentre Malaysia, Jurnal Pengajian Islam, Akademi Islam, KUIS

Comments