BERADAB DALAM MEDIA SOSIAL!!! JANGAN MENCELA, MEMFITNAH ATAU BERKATA KOTOR LAGI KEJI KERANA IA BUKAN SAJA HARAM MALAH AKAN 'MEMUFLISKAN' AMAL
Hari ini, penggunaan media sosial tidak mengira lapisan peringkat umur. Baik dari yang muda membawa kepada yang tua, hatta umur yang setahun jagung juga sudah memiliki akaun media sosialnya sendiri. Namun, apa yang sangat membimbangkan semua pihak adalah adab dalam menggunakan media sosial di kalangan manusia khususnya umat Islam. Tanpa kita sedari, hampir kesemua umat Islam pada hari ini mempunyai akaun media sosial masing-masing hingga ada sebahagiannya mampu menjana pendapatan menerusi ‘live streaming’ dari media sosial mereka.
Akan tetapi, tidak semua daripadanya tahu akan adab menggunakan media sosial dalam kehidupan mereka dan kebanyakan di kalangan mereka ada yang melanggar batas syariat. Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:
“Bukanlah seorang mukmin yang suka mencela, melaknat, berbuat dan berkata keji dan kotor.” (HR Tirmizi).
Tidak ada salahnya jika kita menggunakan media sosial sebagai medium untuk menyampaikan ilmu. Tetapi, ilmu dan ‘content’ yang diberikan haruslah bertepatan dengan syariat Islam. Sebagai contoh, akaun media sosial ‘Tarbiah Sentap’ yang menyajikan pelbagai ilmu agama tetapi menggunakan pendekatan trend terkini untuk menarik lebih ramai golongan belia Muslim lebih mengenali Islam. Mereka menggunakan pendekatan berzikir tetapi menggunakan alunan muzik moden, membuka ruang soal jawab agama secara ‘live’ di Instagram dan menghasilkan buku-buku asas pengenalan agama Islam yang mudah difahami. Hasilnya, ramai golongan belia hari ini lebih berminat mendekati Islam dan ingin belajar Islam dengan lebih mendalam.
Daripada Abu Hurairah R.A berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak mana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya.” (HR Muslim).
Tahukah anda, penggunaan media sosial dapat menunjukkan lambang hati seseorang? Ya, jika anda seorang yang gemar menulis sesuatu yang negatif pada posting anda, anda akan dilihat sebagai seorang yang negatif atau suka bercakap mengenai keburukan orang lain. Pada pandangan manusia, anda mempunyai perlambangan hati yang sangat buruk.
Kemudian yang perlu kita ingat bahawa perbuatan memburuk-burukkan, memfitnah, mencela serta memaki hamun orang lain di media sosial adalah perbuatan yang sangat keji, berdosa besar yang dilarang dalam Islam. Mereka yang melakukan perbuatan tersebut termasuk dalam perbuatan yang menzalimi orang lain. Di akhirat kelak, orang yang mereka fitnah, kutuk, cela dan menzaliminya dahulu akan menuntut pahala yang dibawa daripada solat, puasa, zakat dan amal kebajikan lain dari mereka. Jika habis pahalanya sedangkan belum selesai tuntutan manusia ke atasnya (menjadi muflis), maka diambil dosa manusia itu ditanggung ke atasnya dan akhirnya dia dihumban ke dalam api neraka.
Oleh itu, perbetulkan niat dan adab kita dalam menggunakan media sosial. Umat Islam yang berinteraksi dan berkongsi maklumat dalam media sosial bukan hanya perlu mengikut etika seperti difahami Barat, sebaliknya berlandaskan akhlak serta adab dalam pandangan alam Islam.
Sumber: Berita Harian (28 Februari 2019)
Comments
Post a Comment