JAGALAH ADAB DI MEDIA SOSIAL!!! JANGAN MENGEJI, MENCACI DAN MENGAIBKAN ORANG LAIN KERANA IA ADALAH DOSA BESAR YANG MEMBAWA PELAKUNYA KE NERAKA

 

Dalam berkomunikasi, lidah yang kita gunakan untuk bertutur dan tangan yang kita gunakan untuk menulis atau menaip memainkan peranan cukup penting. Kedua-duanya berfungsi untuk mengungkapkan apa yang ada di dalam hati dan akal fikiran kita.

Kedua-dua anggota boleh menjadi punca bagi kita untuk meraih pahala melalui ucapan yang baik, nasihat, dakwah dan menolong orang atau menjadi punca bagi kita meraih dosa melalui ucapan keji, dusta, fitnah dan cacian. Dengan erti kata lain, kedua-dua anggota boleh menjadi sebab untuk kita masuk ke dalam syurga atau masuk ke dalam neraka.

Tidak dapat dinafikan media sosial merupakan tempat untuk meluahkan pendapat, kata hati atau kata-kata hikmah untuk memberi kesedaran dan juga dorongan kepada pelayarnya. Namun, keadaan sudah menjadi terbalik, kerana media sosial hari ini digunakan untuk mengeji, mencaci dan mengaibkan sesetengah individu untuk kepuasan diri. 

Apa yang paling menyedihkan, perlakuan itu dilakukan oleh sebahagian umat Islam yang terkenal dengan ajaran akhlak dan adabnya yang sangat tinggi. Firman Allah SWT: 

"Allah tidak suka kepada perkataan - perkataan buruk yang dikatakan berterus - terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (QS An - Nisa': 148). 

Banyak kejadian seumpama ini boleh dijadikan contoh. Ada sesetangahnya yang mengeluarkan perkataan rasis, mempermalukan individu dengan perkataan yang menjengkelkan seperti 'posting' seorang lelaki terhadap seorang pemain badminton negara dengan gelaran rasis sejurus selepas pemain itu tewas dalam pertandingan badminton. Ada juga yang berterusan membuat 'posting' dengan ayat-ayat biadap dengan niat ingin menjatuhkan reputasi dan maruah individu seperti yang berlaku terhadap seorang filantrofis terkenal tanah air. Bagaimana Islam tidak dipandang serong? Kerana umatnya yang suka mengata sesama manusia. 

Sedih dan kecewa apabila melihat sebilangan besar umat Islam tidak mahu menjaga lidah dan tangan mereka dari azab seksaan neraka di hari akhirat kelak. Mereka lebih mementingkan nafsu dan kepuasan hati mereka dalam menzahirkan apa yang mahu diperkatakan, 'freedom of speech' kononnya. Tetapi mereka tidak sedar atas dasar 'kebebasan' itulah yang bakal memberikan azab yang pedih kepada mereka. 

Ingatlah, lidah dan jari itu lebih tajam daripada bilah pedang. Kerana kedua-duanyalah, dunia boleh saja hancur dengan perperangan, masyarakat boleh berpecah - belah dan sesebuah keluarga boleh berpisah. Islam tidak mengajarkan kita untuk menyakiti hati sesama manusia,jadi jagalah adab dalam pertuturan dan penulisan kerana semua itu akan tercatat sebagai amalan yang akan dipertontonkan di akhirat. Adakah kita lebih suka melihat amalan kiri kita lebih berat timbangannya? 

Dari Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Amal yang paling banyak memasukkan manusia ke syurga ialah taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” Baginda ditanya lagi, “Apa penyebab banyaknya manusia masuk neraka?” Rasulullah SAW menjawab, “Mulut dan kemaluan.” (Riwayat at-Tirmidzi). 

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Comments