Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 1443 Hijrah yang bakal dilangsungkan pada esok hari, mari kita hayati sejenak tentang pengorbanan Rasulullah SAW dalam memastikan syiar Islam terus berkembang di seluruh dunia. Sebagai umat Islam, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mengamalkan ajaran Baginda dan menjadikan Baginda sebagai "role model" dalam meneruskan dakwah Islam.
Bukan itu sahaja, bahkan sudah menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk mencintai Rasulullah SAW melebihi cintanya kepada semua makhluk lain. Baginda adalah manusia pilihan Allah SWT yang diutuskan kepada umat manusia untuk membimbing mereka kepada hidayah, berbuat makruf, mencegah kemungkaran dan beriman kepadaNya. Sabda Rasulullah SAW:
"Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga dia lebih mencintai aku daripada kedua orang tuanya, anaknya, dan manusia seluruhnya." (HR Bukhari).
Ingatlah, Muslim yang menyintai Rasulullah SAW akan mendapat kesempurnaan iman. Seseorang mencintai Nabi SAW akan semakin mentaati dan mengikuti petunjuk Nabi. Antara kelebihan orang menyintai Baginda berbanding yang lain ialah mereka dianugerahi kemanisan iman. Firman Allah SWT:
"Nabi itu hendaklah lebih utama bagi orang beriman melebihi diri mereka sendiri.” (QS al - Ahzab: 6).
Oleh itu, mari kita sama-sama menunjukkan rasa kasih dan sayang kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan menjadi seorang Muslim yang hebat dengan mengamalkan ajaran Baginda.
Apalah gunanya jika kita mengaku sebagai seorang Islam dan menyayangi Rasulullah SAW jika Rukun Iman keempat tidak disempurnakan? Jadilah seorang Muslim yang lengkap kemanisan imannya dengan meneruskan dakwah Rasulullah SAW secara istiqomah.
Sumber: Harian Metro (30 November 2018)
Comments
Post a Comment