SALING MENDENGKI, AMARAH DAN MEMUTUSKAN UKHUWAH ADALAH AKHLAK TERCELA YANG PERLU DIJAUHI DEMI MENDAPAT REDHA ALLAH SWT

 

Sememangnya sudah menjadi lumrah hidup manusia mempunyai perasaan baik dan tidak baik. Namun bagi perasaan yang tidak baik, ia harus dijauhi agar tidak mendatangkan prasangka buruk yang membawa kepada persengketaan. Antara sifat mazmumah atau akhlak tercela itu adalah akhlak saling mendengki, amarah dan memutuskan ukhuwah di antara satu sama lain terutamanya sesama Muslim. Ketiga-tiga akhlak ini membawa kepada satu akibat buruk, iaitu perpecahan dan permusuhan.

Dari Anas bahwa Nabi SAW bersabda: 

“Janganlah kalian saling berdengki, saling marah, dan jangan pula saling memutuskan hubungan satu sama lain. Tetapi jadilah kalian hamba Allah yang bersaudara.” (HR Muslim).

Kita sebagai hamba Allah SWT, memang tidak akan pernah lari dari melakukan kesilapan.Cuma apa yang penting, kita harus sedar dari kesilapan kita dan menanam azam supaya tidak akan berlaku sekali lagi kesilapan yang kita lakukan. Begitu juga dengan sifat marah dan dengki dalam diri. Yang paling teruk adalah apabila kita memutuskan ukhwah sesama kita dek kerana sifat kita yang suka mendengki dan juga marah itu. Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:

“Jauhilah hasad (dengki), karena hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar.” (HR Abu Daud).

Ingatlah, sebagai Muslim yang sentiasa berpandukan kepada al – Quran dan as – Sunnah, kita dilarang sama sekali untuk mendengki, memarahi dan memutuskan ukhuwah sesama Muslim. Sepatutnya kita kena berusaha untuk mengeratkan lagi ukhuwah sesama Muslim kerana sesama Muslim itu bersaudara. Jangan sesekali kita membiarkan nafsu amarah dan juga perasaan dengki menguasai diri kerana itulah penyebab utama putusnya tali sebuah ukhuwah dan silaturahim. Oleh itu, marilah kita sentiasa mengamalkan sifat tawadduk dan sentiasa berzikir dan berdoa kepada Allah SWT moga dijauhkan dari sifat-sifat atau akhlak yang keji itu.

Sumber: Koleksi Hadis Baharin Mesir, people@UTM (https://people.utm.my/baharinmesir/hadith-jauhi-dengki-marah/)


Comments