ATEIS ADALAH JELMAAN DARIPADA BUDAYA LIBERALISME, SEKULARISME DAN HEDONISME BARAT YANG JELAS BERCANGGAH DENGAN AJARAN ISLAM - JAUHI ATEIS YANG MENYESATKAN!!!

 


Ateisme ditimbulkan oleh kebencian terhadap agama dan keinginan bebas darinya. Oleh sebab itu ramai yang menjadi liberalist, ada yang ingkar terhadap Tuhan (ateis), ada yang ingkar terhadap agama (infidel), ada pula yang menolak pengetahuan tentang Tuhan serta kewujudannya (agnostik). Selain itu, ada juga yang meragukan wahyu Tuhan (skeptik), menolak Kitab Injil atau al-Quran sebagai wahyu Tuhan (deist) dan ada juga yang menolak wahyu secara intelektual (disbeliever/unbeliever). Maka terdapat banyak jalan untuk meyakini bahawa ia menjadi ateis.

Pemikiran ateis memanfaatkan hadirnya moderniseme dengan sikap, pandangan hidup dan tindakan yang hanya berasaskan rasional semata-mata, percaya bila hanya ada bukti yang jelas, bukannya khayalan atau tanpa bukti yang nyata. Kemuncaknya apabila golongan ateisme menuntut kebebasan untuk mengiktiraf mereka sebagai tidak memiliki agama.

Dapatan statistik daripada satu kajian di Barat tentang 'Global Index of Religiousity and Atheism' juga mendapati rakyat di beberapa negara Islam yang dianggap konservatif dan kuat beragama sudah ramai dan berani mengakui dengan yakin bahawa mereka adalah ateis. Di Malaysia, kajian menunjukkan sebanyak 3 peratus rakyat Malaysia mengakui ateis, 91 peratus masih berpegang kepada agama dan 6 peratus lagi tidak diketahui pegangan agamanya.

Ateisme hanyalah satu jelmaan daripada banyak gejala negatif Barat yang menyimpang, menyeleweng dan keluar daripada ajaran Islam yang dikenali sebagai de-islamization (ingkar Islam) termasuklah menukar agama lain (murtad), syirik, ekstremisme, radikalisme, sekularisme, liberalisme, hedonisme dan lain-lain. Maka tidak salah jika ateis itu boleh dikategorikan sebagai satu bentuk penjajahan yang merosakkan akidah.

Walaupun peratusan ateis di Malaysia masih berskala kecil, namun hal ini sangat membimbangkan berikutan pengaruh sekularisme, budaya hedonisme dan liberalisme Barat melalui media sosial yang berpotensi untuk meningkat jika tidak diberikan perhatian yang serius oleh semua pihak. Hal ini perlu dipandang serius kerana keyakinan terhadap ateis merupakan satu bentuk penjajahan yang boleh merosakkan akidah umat Islam di negara ini.  

Sumber: Journal KALIMAH, Vol. 17(1), 2019 dan Laporan Perkembangan Mutakhir Pengaruh Ateisme di Malaysia (ummahprihatin.com)


Comments