BERHATI-HATILAH DENGAN AJARAN SESAT!!! SEMUA AJARAN SAMA ADA BERBENTUK SUFISME, 'MISTIK', TARIQAT DAN SEBAGAINYA JIKA MENYIMPANG DARI AL-QURAN DAN AS-SUNNAH ADALAH SESAT

 


JAKIM telah meletakkan panduan asas dalam menentukan ciri-ciri ajaran Islam yang benar dan ajaran yang sesat iaitu semua bentuk ajaran Islam sama ada dari aliran kesufian, tarikat, mistik, aliran sunnah dan sebagainya atas nama Islam mestilah berpandukan ajaran al-Quran dan as-Sunnah yang benar serta mengamalkan sesuatu amalan berdasarkan asas-asas akidah dan syariah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). 

Oleh itu, meskipun terdapat gerakan Islam seperti ABIM,  IKRAM dan pelbagai pertubuhan Islam yang lain(pertubuhan bukan kerajaan - NGO) yang cuba menggunakan metodologi dan pendekatan baru dalam dakwah Islam, namun dari segi akidah  dan syariah, gerakan tersebut masih berlandaskan akidah dan syariah ASWJ yang berdasarkan ajaran al-Quran dan As-Sunnah yang benar. Justeru, ABIM, IKRAM dan pelbagai pertubuhan Islam lain (pertubuhan bukan kerajaan - NGO) yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama adalah gerakan Islam yang benar dan sah di sisi undang-undang kerajaan Malaysia. 

Sebaliknya, kumpulan seperti kumpulan anti hadis, kumpulan liberal, beberapa kumpulan tariqat dan sufi lain dianggap sebagai ajaran sesat oleh kerajaan Malaysia kerana ajaran kumpulan tersebut memang bercangggah dengan ajaran ASWJ. Ajaran tersebut dikategorikan sesat kerana mereka membuat syariat sendiri dalam melaksanakan ritual ibadah, malah terlibat dengan amalan kesyirikan, tahyul dan khurafat yang boleh membatalkan akidah. Bagi ajaran kumpulan anti hadis umpamanya adalah sebuah kumpulan yang dikategorikan sebagai ajaran sesat yang melampau dan boleh membawa kepada kufur (murtad, terkeluar dari Islam) kerana menolak hadis sebagai sumber syariat dan ajaran Islam.

Para pengkaji tempatan telah membahagikan ajaran-ajaran sesat kepada beberapa jenis mengikut sifat dan ciri-ciri yang ada pada mereka. Walaubagaimana pun, pembahagian ini bukanlah bersifat mutlak tetapi lebih bersifat ‘garis panduan’. Sebagai contoh, dalam kajian Abdullah Fahim, terhadap lebih 20 kumpulan ajaran sesat dan telah membahagikan mereka kepada tiga kategori iaitu kumpulan berasaskan tasawwuf (sufisme), bebas (neutral) dan mistik (mystical).

Sesebuah kumpulan ajaran sesat diletakkan di bawah kategori sufisme adalah kerana mendakwa mereka adalah daripada kumpulan tasawwuf dan tarikat tetapi mempunyai unsur-unsur penyimpangan dari ajaran dan amalan asal kumpulan tarikat dan tasawwuf Islam yang benar.

Kumpulan ajaran sesat dikategorikan sebagai mistik ('mystical') pula adalah kerana mempercayai kuasa mistik dan ajaib boleh diaktifkan dari dalam tubuh mereka jika amalan-amalan tertentu dibuat. Kumpulan-kumpulan ini meyakini bahawa perpindahan roh orang yang telah mati boleh berlaku di dunia ini. Roh para nabi dan rasul, sahabat Nabi Muhammad SAW, para wali boleh memasuki badan seseorang. 

Sebagai contoh dalam kes kumpulan Darul Arqam dan ajaran Taslim, mereka boleh dimasukkan dalam kategori tasawwuf sesat dan juga mistik. Manakala kumpulan selebihnya yang tidak mempunyai unsur sufisme dan 'mystical' dikategorikan sebagai neutral. Walau apa pun kategori yang dibahagikan, mana-mana yang menyimpang daripada ajaran al-Quran dan as-Sunnah adalah dikira sesat dan sudah tentunya merosakkan akidah sebagai umat Islam. Justeru itu, mengapa perlu bersusah payah untuk mempelajari ajaran lain yang baru dan diada-adakan sedangkan Islam berpandukan ajaran ASWJ yang benar sudah ada di depan mata dan memang sudah terbukti kebenarannya?

Sumber: Kertas Seminar Kebangsaan Pengajian Akidah dan Agama- USIM, 2013


Comments