BERHATI-HATILAH DENGAN AJARAN SESAT!!! BENTENGI DIRI DENGAN ILMU AGAMA YANG BENAR SUPAYA TIDAK MUDAH TERPENGARUH DENGAN AJARAN SESAT YANG SEMAKIN BERKEMBANG

 


Ajaran sesat telah mula dikesan bergerak di Malaysia sebelum tahun 1950-an lagi. Kebanyakan ajaran sesat bergerak secara senyap-senyap atau tanpa disedari menyebabkan ia sukar dikesan dan dibanteras oleh pihak berkuasa agama dengan lebih awal.

Ajaran sesat dipercayai dibawa masuk oleh penganut-penganut dari negara-negara asal timbulnya ajaran sesat tersebut atau rakyat tempatan yang kembali semula ke Malaysia setelah belajar atau menetap di luar negara. Kini ajaran sesat dilihat semakin berkembang sama ada ajaran sesat jenis kebatinan yang mengajar tentang ilmu hakikat dan makrifat ketuhanan sehingga meyakini Allah menyatu dalam diri sehingga akhirnya bertindak menolak syariat. Ada juga ajaran sesat yang mengamalkan ajaran tarikat yang menyalahi syariat Islam sehingga mengamalkan kepercayaan dan ritual ibadah yang membawa kepada kesyirikan atau amalan-amalan sesat yang tidak pernah diajar oleh baginda Rasulullah SAW.  Malah lebih bahaya lagi apabila terdapat guru yang membawa ajaran sesat itu bertindak mendakwa beliau adalah Imam Mahdi atau Nabi atau ada yang lebih teruk lagi hingga mengaku sebagai Tuhan.

Sebagai contoh adalah ajaran sesat ‘Yayi’ yang merupakan antara 42 kumpulan ajaran sesat yang pernah disenaraikan oleh pihak Jabatan Agama Selangor dan beberapa jabatan agama negeri. Kumpulan ajaran sesat 'Yayi' ini pernah bergerak di beberapa negeri dan berjaya mempengaruhi segelintir masyarakat yang jahil agama di negara ini. Fahaman ajaran sesat ‘Yayi’ itu didakwa dibawa oleh warga Singapura iaitu Paridah Jayos atau juga dikenali dengan nama Intan atau Ibu.

 Beliau adalah yang menjadi pengasas utama kumpulan ajaran sesat itu. Antara ajaran yang didakwa dibawa oleh kumpulan terbabit ialah mengaku kitab suci al-Quran ditulis oleh Paridah namun dicemari pelbagai kesalahan dan wajib membuangnya manakala pengasasnya mengaku sebagai Tuhan namun kemudian bertukar watak sebagai jelmaan Tuhan bergelar 'Yayi'. Selain itu, ajaran ini juga dipercayai menegah pengikutnya daripada berpuasa pada Ramadhan, tidak perlu berzakat, mengamalkan sihir serta menggalakkan zina.

Walaupun isu tersebut telah selesai berikutan kematian ketua kumpulan berkenaan, namun apa yang hendak diketengahkan adalah masih ada yang boleh terpengaruh dengan ajaran sesat yang pada akal fikiran yang waras kadangkala fahaman yang dibawa tidak masuk akal.

Oleh itu, benteng utama bagi setiap individu Muslim untuk mengelakkan diri dari terpengaruh dengan ajaran yang sesat adalah memenuhi diri dengan ilmu agama yang benar dan mempelajari ilmu pengetahuan agama daripada guru agama atau ustaz-ustaz yang bertauliah yang memang pengajian agamanya diiktiraf oleh pihak berkuasa agama akan kebenarannya. Berbekalkan ilmu tersebut, apa sahaja anasir-anasir negatif yang datang maka dapat dielakkan. Berkawan dengan orang-orang yang baik juga menjadi salah satu strategi supaya tidak terjebak dengan pengaruh negatif.

Sumber: Jurnal Usuluddin, Vol. 26 (2007), Universiti Darul Iman Malaysia dan Harian metro (11 September 2018)


Comments