BERSEDEKAHLAH DEMI MENYUCIKAN JIWA, MENDAPAT KEBERKATAN DAN MEMPEROLEHI BERBAGAI KELEBIHAN YANG DIJANJIKAN ALLAH SWT SAMA ADA DI DUNIA DAN DI AKHIRAT


Dalam Islam, salah satu cara untuk mendapat keberkatan dari Allah SWT bukan hanya melalui ibadah asas (solat, puasa, haji dan sebagainya) semata-mata, tetapi boleh dilakukan dengan bersedekah bagi membantu insan lain yang memerlukan. Banyak sekali ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menganjurkan umat Islam bersedekah. Bahkan ayat-ayat al-Quran serta hadis Nabi SAW begitu jelas mengkhabarkan tentang keutamaan bersedekah supaya ia menjadi amalan khusus bagi orang-orang beriman yang cintakan akhirat. 

Sedekah tidak akan membuat seseorang itu miskin malah akan membuka pintu razeki dan menambahkan lagi keberkatan razekinya. Rasulullah SAW bersabda: 

"...dan amal sedekah itu hanya akan menambah harta seseorang, maka bersedekahlah, niscaya Allah akan melimpahkan rahmatNya kepada kalian" (HR Abu Dunya). 

Salah satu keistimewaan bersedekah adalah akan diberi pahala yang berlipat ganda seperti firman Allah SWT: 

“Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki  maupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik, niscaya akan dilipatgandakan (pahala) kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak.” (QS al-Hadid: 18). 

Dengan sedekah, Allah SWT juga akan menghapus dosa-dosa hambaNya. Oleh sebab itu, janganlah  ragu-ragu atau menolak untuk bersedekah. Rasulullah SAW bersabda: 

“Sedekah itu dapat menghapus dosa sebagaimana air itu memadamkan api.” (HR. At-Tirmidzi). 

Sebagaimana disebutkan sebelumnya, dengan sedekah mampu menghapus dosa-dosa kita. Maka, dengan sedekah pulalah kita akan terhindar daripada azab api neraka. Mengingat pahala berlipat ganda serta dihapusnya dosa-dosa, maka sedekah kita juga akan menjauhkan diri kita agar tidak terjerumus ke dalam neraka sebagaimana sabda Rasulullah SAW: 

“Jauhkan dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan (sedekah) sebutir kurma.”(Muttafaqun ‘alaih). 

Selain itu, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa yang menjadikan naungan umat manusia di hari kiamat nanti adalah amalan sedekahnya. Rasulullah SAW bersabda: 

“Naungan orang beriman di hari Kiamat adalah sedekahnya.”(HR Ahmad). 

Itulah antara keutamaan sedekah yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan oleh Rasulullah SAW. Semoga kita semua termasuk orang-orang yang tidak meninggalkan sedekah dan akan mendapatkan keutamaan-keutamaan sedekah yang dijanjikan Allah SWT di akhirat kelak. 

Seperti dijelaskan sebelum ini, yakinlah bahawa dengan bersedekah bukan sahaja dapat menyucikan jiwa dan menghapus dosa, tetapi kita juga akan mendapat naungan Allah SWT pada hari akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda: 

“Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. Pemimpin yang adil, pemuda yang menyibukkan dirinya beribadah kepada Allah SWT, seorang yang hatinya selalu terikat dengan masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisahnya kerana Allah, seseorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita yang kaya dan cantik, lalu ia menolaknya sambil berkata ‘aku takut kepada Allah’. Seseorang yang bersedekah dengan secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta seorang yang berzikir mengingati Allah dikala sendiri hingga mengalir air matanya.” (HR Bukhari). 

Lihat hadis di atas bagaimana Allah SWT sangat mengangkat darjat seseorang yang suka bersedekah kerana sesungguhnya bersedekah di jalan Allah SWT dapat memberikan ketenangan di dalam diri di samping meluaskan rezeki seseorang itu untuk dikongsi bersama. Tidak akan jatuh miskin seseorang itu jika bersedekah sebaliknya Allah SWT akan menambahkan lagi rezekinya berlipat ganda. 

Sumber: Harian Metro (4 Januari 2021)

Comments