CEGAH SEBELUM PARAH!!! PENINGKATAN AJARAN SESAT SETIAP TAHUN MESKIPUN MASIH TERKAWAL AKAN TERUS MENGANCAM AKIDAH UMAT ISLAM DI NEGARA INI

 


Malaysia merupakan negara Islam yang secara tradisinya berpegang dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang menurut kefahaman Mazhab Syafi’ie dalam amalan berhubung dengan fiqih, dan fahaman Asha’irah-Maturidiyyah dalam perkara berhubung dengan akidah. Sementara dalam hal amalan berhubung dengan akhlak atau tasawuf banyak dipengaruhi oleh pandangan-pandangan daripada Imam al-Ghazali.

Susulan daripada itu, Jawatankuasa Fatwa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) bermesyuarat menetapkan pandangan hukum bahawa umat Islam di Malaysia yang mengikut ajaran selain daripada ASWJ adalah dilarang. MKI ini turut disusuli dengan fatwa pengharaman di 14 buah negeri di Malaysia dan fatwa tersebut boleh digunakan untuk mengambil tindakan ke atas pengikut-pengikut ajaran selain ASWJ yang dimaklumi sebagai ajaran sesat seperti ajaran Syiah, aliran pemikiran liberalisme, pluralisme dan sebagainya yang terbukti terpesong dari ajaran Islam sebenar.   

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), setakat Januari 2021 sehingga September yang lalu, sebanyak 47 kes pemujaan salah atau ajaran sesat telah dilaporkan di Malaysia. Bagi menangani isu ajaran sesat dalam kalangan umat Islam, beberapa langkah telah dilakukan oleh pihak kerajaan seperti:
i- Bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri dalam aspek penyelidikan mengenai ajaran dan doktrin yang meragukan atau disyaki menyeleweng daripada ajaran Islam;
ii- Mengadakan pertemuan dan sesi dialog secara tertutup bersama dengan kumpulan-kumpulan yang terlibat.

Biarpun kerajaan berusaha menyemarakkan usaha dakwah menerusi pelbagai medium dan perancangan di segenap peringkat, namun masih ada kelompok yang berjaya menembusi golongan sasaran, terutamanya menerusi kaedah dan pendekatan tertentu seperti perbomohan dan rawatan tradisional, tarikat dan pengajaran tertentu serta pemujaan dan amalan khurafat. Implikasi ajaran sesat tersebut bukan sahaja terkesan kepada individu terbabit semata-mata, malah turut memberi kesan kepada anggota masyarakat yang lain.

Berdasarkan informasi tersebut, dapatlah difahami bahawa isu ajaran sesat ini tidak pernah habis, malah semakin subur saban tahun. Walaupun peningkatan angka menunjukkan bahawa ajaran sesat di negara ini masih terkawal tetapi ia perlu segera ditangani bagi menyekat penyebarannya. Penyebaran ajaran sesat mungkin dapat dikekang jika setiap individu Muslim berwaspada dan meningkatkan pengetahuan agama menerusi cara yang betul serta mengelak diri dari dipengaruhi oleh kumpulan tertentu yang kebanyakannya mempunyai agenda peribadi.

Sumber: Jurnal Syariah, Jil. 18, Bil. 2 (2010)- UM, Sinar Harian, 28 Oktober 2021


Comments