HIASILAH DIRI DENGAN SIFAT MALU KERANA IA ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN YANG MEMBENTENGI DIRI DARIPADA PERBUATAN KEJI DAN TERCELA
Di dalam agama Islam, sifat malu merupakan salah satu daripada sifat terpuji yang perlu diterapkan oleh setiap Muslim di dunia ini. Sifat malu juga merupakan salah satu daripada cabang-cabang keimanan sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis. Rasulullah SAW bersabda:
"Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan." (HR Bukhari).
Seorang ulama mazhab Syafie yang terkenal iaitu Imam Mawardi, membahagikan sifat malu yang terpuji ini kepada tiga iaitu: Pertama, malu kepada Allah SWT dengan menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah SWT. Kedua, malu kepada manusia iaitu menahan diri daripada mengganggu dan menyakiti orang lain. Ketiga, malu kepada diri sendiri iaitu sentiasa menjaga kehormatan diri dan menjaga diri daripada sifat-sifat tercela.
Rasulullah SAW adalah contoh teladan dan ikutan yang terbaik bagi seluruh umat manusia dan antara salah satu sifat yang ada pada diri Rasulullah SAW adalah sifat malu. Malah Imam At – Tirmidzi pernah berkata bahawa malu adalah perhiasan mukmin sejati. Ia merupakan akhlak para nabi dan para rasul yang harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku umat Nabi Muhammad SAW.
Sifat malu adalah sifat yang mengajar kita untuk sentiasa menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji. Sifat malu inilah yang akan menjadi benteng masyarakat daripada terjebak ke dalam krisis moral, keruntuhan akhlak dan kebejatan sosial. Ini kerana sifat malu dapat mencegah dan menjauhkan kita daripada melakukan sebarang bentuk perbuatan dosa, berkelakuan buruk, hina dan tercela. Selain itu, perasaan malu juga akan membuatkan seseorang itu untuk lebih berhati-hati dalam setiap gerak-geri dan tingkah laku sama ada dari segi perkataan mahupun perbuatan. Sabda Rasulullah SAW:
“Malu itu tidak mendatangkan sesuatu melainkan kebaikan semata-mata.” (HR Bukhari).
Apa yang kita perolehi dalam mencontohi sifat ini? Pertama, sifat malu ini mengajak pemiliknya menghiasi diri dengan sifat mulia dan menjauhkan diri dari sifat-sifat tercela. Kedua, sifat malu ini sangat dituntut dalam Islam kerana sifat inilah menjadi peringatan di dalam diri kita agar sentiasa berwaspada dalam melakukan sesuatu hal. Ia juga dapat menghalang kita dari melakukan perbuatan yang tercela dan haram.
Akan tetapi, janganlah kita sesekali malu untuk berbuat kebaikan. Sifat malu seperti ini adalah sifat malu yang tercela yang perlu dijauhi. Kita perlu ingat bahawa walau sekecil zarah kebaikan sekalipun yang kita lakukan, juga akan dihitung oleh Allah SWT. Sebagai contoh, malu untuk beribadah, malu untuk belajar hal-hal yang berkaitan agama. Ini adalah sifat malu yang tercela yang sama sekali perlu dielakkan. Rasulullah SAW bersabda:
“Rasaْ maluْ adalahْ sebahagianْ dariْ keimananْ danْ keimananْ beradaْ disyurga.ْ Sedangkanْ tindakan atau ucapan kotor adalah sebahagian dari perangai yang kasar dan perangai kasar tempatnyaْ diْ neraka”ْ (HR Tirmidzi).
Sumber: Majlis Islam Sarawak (MIS)
Comments
Post a Comment