ISLAM AGAMA YANG MENGONGKONG??? DAKWAAN SALAH GOLONGAN LIBERAL SEDANGKAN FAHAMAN LIBERAL SEBENARNYA HANYALAH BERDASARKAN LOGIK AKAL DAN DIBELENGGU OLEH HAWA NAFSU

 


Barat menyerang Islam dan penganutnya dalam pelbagai segi. Antara usaha menghancurkan Islam ialah mengasak dan menyebarkan pemikiran liberal dalam dunia Islam sehingga melahirkan pemikiran Islam liberal seperti yang dianuti kumpulan G25 dan yang sealiran dengannya. Golongan terbabit mentafsir agama mengikut kehendak akal semata-mata atau disesuaikan dengan agenda mereka dalam acuan yang menyeleweng sama ada dari segi akidah atau hukum syarak.

Golongan liberal ini begitu lantang dan cuba bertindak ‘berani’ walaupun pada zahirnya mereka bukan menolak agama, akan tetapi berselindung disebalik gagasan mengkaji semula agama. Mereka juga sering mengkritik pelaksanaan undang-undang keluarga dan jenayah Islam yang menurut mereka bersifat diskriminatif terhadap wanita. Fahaman liberal di Malaysia dilihat cuba memperluas agenda pluralisme agama.

Penyataan bahawa berpegang teguh kepada ajaran Islam telah menyekat kebebasan adalah penyataan salah yang lahir kerana ketidakfahaman atau jahil dalam memahami tabiat ajaran Islam yang telah membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada hanya menyembah Allah SWT. 

Islam telah membebaskan manusia daripada memperhambakan diri terhadap runtunan hawa nafsu kepada mengatur hawa nafsu sesuai dengan peranan sebenar manusia dalam kehidupan mereka. Islam membebaskan manusia daripada persepsi kehidupan hanya terhad kepada dunia yang sementara kepada meyakini kepada kehidupan di hari akhirat yang kekal abadi.

Fahaman liberal yang mengajak dan berjuang untuk membebaskan manusia daripada bertuhankan hanya kepada Allah SWT, sebaliknya bertuhankan selain Allah SWT serta memahami bahawa tiada satu pun agama yang benar-benar betul adalah fahaman yang sesat yang tidak mengikut fitrah sebenar kehidupan manusia. Sebaliknya fahaman liberal ini hanya berdasarkan logik akal semata-mata yang sangat terbatas dan hanya mengikut hawa nafsu yang ingin bebas tanpa ikatan agama. Oleh itu, tidak hairan jika golongan Islam Liberal menafsirkan Islam secara literal mengikut logik akal fikiran mereka dan kehendak nafsu mereka yang sesat daripada kehidupan yang harmoni yang diatur oleh Allah SWT. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh golongan liberal ini bukanlah mengajak kepada kebebasan tetapi mereka telah mengajak untuk kembali kepada perhambaan hawa nafsu mereka sendiri. 

Justeru itu, tindakan golongan liberal ini yang mempromosikan kebebasan untuk murtad daripada agama Islam bukanlah seruan kepada pembebasan, bahkan menyalahi konsep kebebasan dalam Islam itu sendiri. Mempromosi seks bebas, mewajarkan maksiat dan kemungkaran, membebaskan manusia daripada ikatan agama adalah perbuatan merelakan diri dibelenggu hawa nafsu. Fikir-fikirkan.

Sumber: Berita Harian, 13 OKT 2017, 29 FEB 2016, 17 DIS 2015


Comments