MEMBANTERAS AJARAN SESAT - TINDAKAN MELALUI UNDANG-UNDANG ADALAH PERLU BUKAN SEMATA-MATA MENGHUKUM TETAPI UNTUK MEMULIHKAN AKIDAH MEREKA AGAR KEMBALI KEPADA AJARAN ISLAM YANG BENAR

 


Usaha untuk membasmi dan membanteras ajaran sesat adalah satu usaha berterusan yang telah dipelopori oleh generasi awal Islam lagi. Ia perlu melibatkan semua pihak termasuk pemimpin politik, para ulama, pihak berkuasa agama, ketua kampung dan anggota masyarakat.

Jika dahulu para ulama seperti Imam al-Ghazali berusaha mempertahankan akidah Islam daripada dipengaruhi oleh pemikiran falsafah Greek melalui kitabnya ‘al-Munqiz min Dhalan’ dan ‘Tuhufatul al-Falasafah’. Kini, lain pula coraknya bagi menangkis serangan ajaran sesat atau serangan akidah ini iaitu melalui undang-undang yang bertindak sebagai alat kawalan sosial supaya masyarakat Islam terus berada dalam normalisasi sebagai umat Islam.

Dalam keadaan tertentu tindakan undang-undang perlu diambil terhadap golongan yang masih berdegil mengamalkan akidah Islam yang menyeleweng. Usaha untuk menjaga keharmonian akidah Islam adalah satu usaha yang perlu dijalankan dengan penuh rasa tanggungjawab dan bukan sekadar untuk memenuhi kehendak undang-undang sahaja.

Tidak dapat dinafikan bahawa pengamal-pengamal ajaran sesat boleh didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Negeri masing-masing jika disabitkan kesalahan, namun apa yang lebih penting ialah bagaimana hukuman undang-undang tersebut mampu mengembalikan semula mereka yang sesat itu ke pangkal ajaran Islam yang sebenar.

Hal ini bermaksud, tugas pihak berkuasa agama bukan tamat seusai sahaja golongan ajaran sesat ini dijatuhkan hukuman kerana kesalahan jenayah akidah yang dilakukan, namun mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dalam mengeksploitasi pemikiran sesat itu ke arah keterbukaan minda mereka yang terlibat ajaran sesat untuk bertaubat, menyedari kesilapan pengamalan ajaran yang salah dan seterusnya membimbing mereka untuk mengamalkan ajaran-ajaran yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

Justeru itu, kepada mereka yang terpengaruh dengan dakyah ajaran sesat, mereka perlu menyedari dan berfikir secara rasional, mengapa  mereka perlu bersusah payah untuk membentuk ajaran baru dengan  mengubahsuai atau mengadakan sesuatu ritual mahupun ‘zikir-zikir’ untuk diamalkan oleh diri sendiri dan pengikut? Sedangkan apa yang telah diturunkan kepada kita melalui utusan terakhir Nabi Muhammad SAW adalah sudah lengkap, terbaik dan sesuai untuk diamalkan sepanjang zaman. 

Sumber: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus


Comments