Sebagai umat Islam, kita sudah diajarkan di dalam agama Islam agar sentiasa berbuat baik sesama manusia. Semua Muslim dituntut untuk selalu berbuat kebaikan umpama seperti lebah yang selalu membina kebaikan diri dan memberikan manfaat kebaikan itu kepada yang lain. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya perumpamaan seorang mukmin adalah seperti lebah, ia makan yang baik-baik, mengeluarkan yang baik-baik, bila ia hinggap tidak membuat dahan patah dan rusak.” (HR Ahmad).
Kita lihat mengapa Rasulullah SAW memberikan maksud perumpaan tersebut. Lebah akan sentiasa memastikan makanan yang baik-baik diperolehi daripada pelbagai bunga-bunga di sekelilingnya dan dia mengeluarkan kembali dalam bentuk madu, salah satu makanan sunnah yang banyak diceritakan di dalam al – Quran untuk dimanfaatkan kepada manusia sejagat. Firman Allah SWT:
“Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.'' (QS An Nahl:69).
Jadi dengan kebaikan yang kita terima daripada orang lain, kita gunakan kemudian kita ‘keluarkan’ semula untuk memberi kebaikan kepada orang lain. Begitulah yang dikehendaki oleh Rasulullah SAW kepada umatnya agar menerima kebaikan dan melakukan kebaikan. Seorang Mukmin perlu sentiasa melakukan amal kebaikan walau kepada siapapun dan di mana sahaja dia berada. Bukan itu sahaja, kita juga harus berperanan sebagai agen perubahan dan kebaikan di mana kita berada dalam usaha untuk memberikan contoh kepada Muslim lainnya.
Oleh itu, marilah kita sebagai Muslim untuk sentiasa mencontohi seperti lebah, mendapat sesuatu sumber dari sumber yang baik dan menyumbang sesuatu yang terbaik dan bermanfaat kepada manusia lain. Perlu diingat, kualiti madu yang dihasilkan oleh lebah bergantung pada sumber yang menghasilkan madu. Kita haruslah memastikan ‘sumber-sumber’nya adalah yang terbaik sama ada guru yang mendidik, ilmu yang diperolehi, pentarbiyahan yang membentuk diri kita, rakan-rakan seperjuangan yang bersama kita, jamaah yang kita bergabung dengannya dan lain-lain.
Sumber: Koleksi Hadis Jimaain Safar, people@UTM (https://people.utm.my/ajmain/2015/12/26/koleksi-hadis-130-mukmin-umpama-lebah/)
Comments
Post a Comment