BAGAIMANA MEMBENTENGI DIRI DARI ATEIS? BINALAH KEYAKINAN DIRI DENGAN MEMPELAJARI ILMU AKIDAH YANG BENAR TENTANG KEWUJUDAN ALLAH MAHA PENCIPTA SERTA YANG MENGATUR ALAM INI
Sejak dari awal perkembangan Islam, masalah berkaitan fahaman atau kepercayaan tidak mengakui kewujudan Tuhan telah didengari. Seperti kisah pada zaman Imam al-Ghazali yang berhadapan dengan serangan ahli falsafah daripada golongan materialis 'dahriyyun' yang menyangkal kewujudan Allah SWT dan menyatakan alam ini bersifat 'qadim' iaitu tercipta dengan sendiri.
Berdasarkan peristiwa yg terjadi di zaman dahulu terutamanya di era Imam Ghazali yang menghadapi kumpulan eteis yang menolak kewujudan Allah dengan berbahas dan berbincang dengan mereka menggunakan ilmu kalam dan ilmu falsafat, iaitu melalui pengajian akidah berdasarkan ilmu Sifat 20, maka kaedah yang sama boleh digunakan pada masa kini.
Dalam ilmu akidah berdasarkan pengajian Sifat 20, ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah telah menetapkan antara satu sifat yang wajib bagi Allah SWT ialah sifat wujud bagi Allah. Kewujudan Allah yang dibahaskan dalam pengajan ilmu akidah berdasarkan akidah Sifat 20 ini boleh memberi keyakinan tentang kewujudan Allah berdasakan dalil-dalil 'aqli' (akal) dan 'naqli' (nas-nas dari al-quran dan hadis). Mempelajari sifat-sifat Allah melalui pengajian akidah Sifat 20 ini akan dapat memberi keyakinan diri bahawa dunia ini tidak terjadi dengan sendiri kerana semestinya wujud Allah sebagai zat yang Maha Pencipta dan Maha Mengatur segala yang ada di alam ini termasuk di bumi dan di langit.
Sementara itu, terdapat banyak dalil dalam al-Quran dan hadis yang menunjukkan bahawa Allah itu wujud. Dalam surah al-Fusilat ayat 37, maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud pada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakanNya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah SWT. Mempelajari dalil-dalil ini juga akan menambahkan keyakinan tentang kewujudan Allah yang Maha Besar yang menjadikan alam ini dan mengatur semua urusan manusia dan makhluk lain.
Bagi mencapai keyakinan tentang kebenaran wujudnya Tuhan iaitu Allah SWT, ia boleh diperoleh melalui dua jalan. Sepertimana yang dinukilkan oleh seorang ulama terkenal iaitu al-‘Allamah Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti dalam karnya Kubra al-Yaqiniyyat al-Kawniyyat adalah:
1. Memerhati dengan pancaindera terhadap perkara yang diciptakan oleh Allah SWT seperti alam semesta yang tidak diciptakan dengan sia-sia. Melalui analisis yang sempurna dengan kaedah berfikir menggunakan akal secara tepat (mantik), seseorang itu akan berasa yakin terhadap bukti-bukti kewujudan Allah SWT.
2. Mengkaji kewujudan Allah SWT berdasarkan perkhabaran yang disampaikan kepada manusia melalui al-Quran dan hadis mutawatir serta hadis sahih. Kajian itu hendaklah dibuktikan melalui kaedah-kaedah ilmiah tertentu melalui 'al-istiqra’ al-tam'.
Kesimpulannya, sekiranya anda tidak yakin atau tidak mempercayai bahawa Allah SWT itu wujud, maka janganlah duduk selesa dengan terus mengiktiraf diri sebagai seorang yang ateis. Sikap malas mencari kebenaran ini tidak akan mendatangkan apa-apa hasil malah akan menjadikan anda semakin ragu dan jauh dari fahaman akidah yang benar apabila fikiran mula dimasukki fahaman ateis, liberalisme, sekularisme, pluralisme dan sebagainya.
Justeru itu, buatlah banyak kajian terhadap al-Quran dan hadis, terhadap kitab-kitab ilmiah, rujuklah pada alim ulama, buat perbandingan dengan kitab-kitab agama lain jika anda masih tidak mempercayai kebenaran Islam terhadap kewujudan Allah. Syaratnya, buka minda, buka hati tanpa bias pada mana-mana persepsi supaya kebenaran itu hadir pada anda yang mencarinya.
Sumber: Sinar Harian, 8 Mei 2021
Comments
Post a Comment