BERHATI-HATILAH DENGAN AJARAN TARIKAT KEBATINAN!!! AJARAN SESAT YANG BOLEH MERESAP JIWA TANPA SEDAR DAN SEDANG BERKEMBANG SEKARANG INI

 


Menurut kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kebanyakan ajaran sesat berlaku dalam empat bentuk utama iaitu ajaran tarikat dan kebatinan, perbomohan dan persilatan, khurafat dan tahyul serta penyelewengan pemikiran.

Daripada empat perkara tersebut, ajaran tarikat dan kebatinan adalah bentuk yang paling banyak disalahgunakan oleh pembawa ajaran sesat. Ia banyak berkembang menerusi amalan tarikat tasawuf. Di Malaysia, ia bermula pada awal abad ke-20 dan mula ketara dalam masyarakat Islam sekitar 1960an khasnya di negeri Kelantan, Terengganu, Selangor dan Johor. Dengan teknologi terkini yang dipenuhi dengan pelbagai laman sosial media untuk menyebarkan sesuatu propaganda, sudah tentunya perkembangan yang lebih ketara ini menjadi satu isu yang perlu diperhatikan. 
 
Sebagai contoh, seorang ‘pendakwah’ yang aktif di bahagian utara tanah air dan mempunyai pengikut di sosial media seramai 72 ribu pengikut dan dikenali sebagai Ustaz Wan Hizam. Antara intisari kandungan ajarannya adalah berkenaan dengan ilmu makrifat kepada Allah iaitu tarikat yang menafsirkan hal-hal berhubung dengan kewujudan Allah dan menafsirkan al-Quran berdasarkan akal semata-mata. 

Ajaran tarikat batiniah yang diamalkan dan disampaikan kepada masyarakat adalah dengan menganggap semua perkara selain Allah itu tidak wujud. Allah itu menjelma dalam makhluk seperti pada wajah manusia, binatang, pokok, wajah guru dan seumpama dengannya. Allah telah bersatu dengan makhluk, memisahkan hakikat (akidah) dengan syariat sehingga membolehkan seseorang terlepas daripada syariat Islam, tidak perlu solat, dajal itu tidak wujud, yang ada hanya nafsu jahat, maksud syurga adalah hati yang mengigati tuhan, bidadari dan sungai madu dalam syurga tidak wujud, Abu Jahal kekasih Allah dan pelbagai lagi penyelewengan yang ditaburkan.

Individu lain yang membawa ajaran tarikat kebatinan yang sama dengan Uztaz Wan Hizam ialah Ismail Ariffin@Lepat. Walaupun, membawa ajaran yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, menolak syariat (tidak solat dan lain-lain) kerana merasa diri berada di tingkatan makrifat kepada Allah (tidak perlu syariat lagi sebab sudah kenal Allah), namun masih ramai pengikut dan 'followers' mereka di media sosial khususnya di laman Facebook nya.

Ajaran tarikat kebatinan ini telah difatwakan sesat oleh kebanyakan Majlis Fatwa Negeri-negeri dan JAKIM atas alasan ajaran tarikat kebatinan ini tidak membezakan antara tauhid dan syirik, membatalkan syariat (tidak perlu ikut syariat) dan mentafsirkan al-Quran tanpa panduan ilmu tafsir yang betul kecuali menggunakan akal serta mempersendakan ajaran Islam itu sendiri atas andaian kerohanian. Hal ini seperti dijelaskan di atas. 

Peristiwa terbaru pula melibatkan seorang pengusaha terkenal ‘MAMASAB’ yang menyatakan bahawa Tuhan juga adalah makhluk halus. Biarpun pengusaha tersebut telah membuat permohonan maaf secara terbuka, namun apa yang ingin diketengahkan adalah pengaruh ilmu-ilmu tarikat yang menyesatkan itu secara tidak sedar telah meresapi dalam masyarakat Islam secara halus dan tanpa sedar. Perkara ini menjadi bukti kukuh kepada kita bahawa masyarakat sekarang berada dalam keadaan akidah yang ragu-ragu. Penggunaan sosial media tanpa sempadan juga menjadi salah satu faktor besar ilmu-ilmu tarikat dan batiniah yang menyesatkan ini sukar ditangani. 

Justeru itu, apakah tindakan kita sebagai umat Islam, sebagai pemerintah, sebagai penguatkuasa dalam menangani fenomena sosial yang merosakkan akidah tanpa sedar ini?

Sumber: Majalah al-Ustaz, Isu No. 18, Telaga Biru Dan Malaysia Gazzete, 15 DIS 2021


Comments