Bermula dari hijrah Rasulullah SAW, maka lakaran kejayaan menyaksikan tertubuhnya kerajaan Madinah yang dipimpin oleh Rasulullah SAW yang kemudiannya dicorakkan mengikut Hadyu Ilahi dan Nabawi. Maka jadilah ia sebuah negeri yang penuh dengan keamanan, kesejahteraan dan keharmonian. Legasi kejayaan ini kemudiannya diteruskan lagi oleh generasi para sahabat yang terbilang. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 128, bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjihad di jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Dalam ayat lain, Allah SWT juga berfirman dalam Surah an-Nisa, ayat 100, bermaksud:
"Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur”
Syeikh al-Maraghi berkata: Barangsiapa berhijrah di jalan Allah SWT, iaitu dengan tujuan mencari keredaan-Nya dan untuk menegakkan agamanya sesuai dengan kewajipan bagi dirinya selaras dengan jalan yang dicintai oleh Allah SWT, nescaya akan memperoleh tempat yang memberinya kelepasan di muka bumi ini. Jika mereka yang tadinya berasa tertindas, mereka akan mendapat tempat perlindungan sehingga mereka memperoleh kebaikan dan rezeki yang banyak disamping terselamat daripada penindasan dan kehinaan.
Berdasarkan kepada nas di atas jelas menunjukkan hijrah mempunyai kedudukan yang mulia dan istimewa dalam Islam. Sewajarnya umat Islam memahami erti hijrah dengan lebih luas. Di zaman ini penekanan perlu diberikan untuk berhijrah daripada keburukan kepada kebaikan dan daripada kegelapan pemahaman Islam kepada pemahaman Islam yang lebih baik beserta amalan yang lebih sempurna.
Sebagai contoh, di Malaysia sendiri dapat dilihat ramai artis yang merupakan ‘public figure’ telah melakukan hijrah ke arah yang lebih baik sepereti Neelofa, Diana Amir, Zizi Kirana dan ramai lagi. Perkara ini seharusnya dijadikan contoh supaya kita menjadi lebih baik, lebih mendekatkan diri kepada Allah dengan mengamalkan Sunnah-sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan. Ternyata, kejayaan dunia akhirat pasti dalam genggaman dan tiada sedikit pun kerugian yang dirasai, malah lebih tenang menghadapi pancaroba dunia. Mudah-mudahan dengan itu kita dapat menghijrahkan diri kita dalam usaha untuk menggapai keredhaan Allah.
Sumber: Bayan Linnas Siri ke-21
Comments
Post a Comment