HATI-HATI DENGAN ISLAM LIBERAL!!! KUMPULAN YANG MEMPERJUANGKAN PRINSIP KEADILAN TETAPI MENGIKUT PEMIKIRAN ATEIS, LIBERAL DAN SEKULAR

 

Pemikiran tidak beragama merupakan satu gagasan pemikiran yang menolak agama sebagai tempat rujukan manusia. Malah gagasan pemikiran ini percaya bahawa hak asasi manusia yang sepatutnya melakarkan kehidupan mereka sekarang dan akan datang tanpa perlu campur tangan daripada agama, undang-undang syariat Islam, al-Quran dan as-Sunnah.

Gagasan ini tidak mempercayai kewujudan Tuhan, walau bagaimanapun mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menolak kewujudan Tuhan. Seolah-olah kepercayaan mereka berada antara iman dan ateis akibat keraguan yang timbul dalam diri. Gagasan ini muncul impak daripada pasca modenisasi dan globalisasi yang dibawa oleh Barat dalam dunia Islam melalui penjajahan, pendidikan dan media yang disalurkan melalui serangan pemikiran.

Ciri-ciri pemikiran tidak beragama sebagai contohnya boleh dilihat melalui kenyataan Sister in Islam(SIS) yang banyak mempersoalkan keadilan undang-undang hudud ke atas wanita seumpamanya mereka membantah pesalah yang melakukan sumbang mahram itu dihukum sebat, menyokong kebebasan beragama dan menukar agama bagi orang-orang Islam, mendakwa bahawa berhijab bagi wanita Muslimah bukanlah suatu kewajipan malah merupakan proses arabisasi daripada negara Arab serta memperjuangkan penafsiran semula ayat-ayat al-Quran terutamanya berkaitan pewarisan dalam Islam. Kumpulan ini sebenarnya kumpulan Islam liberal yang semakin berkembang ketika ini. Mereka berjuang untuk memperjuangkan prinsip keadilan dan hak asasi manusia yang amat bertentangan dengan Islam. 

Walaupun mereka seolah-olah tidak menolak agama, namun apa yang mereka perjuangkan adalah memperjuangkan kebebasan berdasarkan pemikiran ateis, sekular dan liberal Barat. Oleh itu tidak hairanlah jika mereka melaung-laungkan perjuangan kebebasan dan keadilan mengikut pemikiran sesat Barat, ateis, liberal dan sekular tersebut. Bahkan lebih teruk lagi, mereka cuba mempertikaikan hukum-hukum asas Islam yang telah qat'i (tetap dan mutlak) yang terdapat dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW. Perjuangan kumpulan ini sangat bahaya kepada akidah Islam kerana mereka yang lemah akidah dan terpengaruh dengan prinsip kebebasan serta keadilan Barat akan lebih mudah dipengaruhi.

Keadaan ini menggambarkan tahap pemikiran tidak beragama khususnya umat Islam Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan. Hal ini dibuktikan dengan kes-kes murtad seperti kes Elena, Esther, Joshu dan lain-lain yang berpura-pura melaksanakan ajaran Islam sedangkan telah murtad. Ini menunjukkan mereka mempunyai pengetahuan berkaitan ajaran Islam tetapi sikap dan persepsi mereka sangat lemah berkaitan ajaran Islam sehingga memudahkan mereka murtad dan terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

Justeru itu, semua jentera perlu digerakkan selaras dengan tuntutan tradisi pengajian iaitu al-Quran dan as-Sunnah kerana kekuatan jati diri dan sikap belia terhadap al-Quran dan as-Sunnah pasti akan mampu menangkis serangan-serangan pemikiran yang negatif seperti aliran humanisme, sekularisme, liberalisme, pluralisme dan sebagainya.

Sumber: Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari, Vol. 11(1) – Universiti Zainal Abidin



Comments