HIKMAH DI SEBALIK BANJIR ALLAH SWT MEMBUKA PINTU HATI SEMUA PIHAK AGAR BERSATU UNTUK SALING MEMBANTU MEREKA YANG TERKESAN


Kejadian banjir di Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang pada 18 Disember lalu seolah-olah membuka mata semua pihak betapa pentingnya kita untuk menjadi seorang manusia yang berguna dan bekerjasama di antara satu sama lain. Mungkin ini teguran daripada Allah SWT untuk bersatu-padu dan bekerjasama terhadap semua kaum tanpa mengira bangsa dan agama. Firman Allah SWT: 

" Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.." (QS Ali 'Imran: 103). 

Apakah iktibar yang boleh kita ambil dari kejadian ini? Walau seteruk mana pun kita terlibat dalam salah faham atau pertelingkahan, janganlah sesekali memutuskan tali silaturahim sesama manusia. Kita tidak akan tahu apa kesusahan yang bakal kita alami dan siapa yang akan membantu kita. Jadi, amat penting untuk kita menjaga silaturahim ini agar tidak terputus. 

Lihatlah kepada pasca kejadian banjir, bagaimana semua pihak bersatu - padu dan bekerjasama dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir dari segi usaha, tenaga dan juga wang ringgit. Tanpa mengira pangkat, kaum, bangsa dan agama semuanya dibantu. Semua pihak bekerjasama atas dasar kemanusiaan. 

Inilah yang sepatutnya dikekalkan oleh semua umat manusia terutamanya umat Islam dalam membina kesatuan yang kukuh. Kesepakatan dan kerjasama adalah kunci kepada pengukuhan tali silaturahim sesama manusia. Apa gunanya kita bergaduh hanya kerana hal yang kecil? Bersatu-padu dan bekerjasamalah sesama kita agar hidup sentiasa diberkati Allah dan dijauhkan daripada segala bencana. Sabda Rasulullah SAW: 

"Orang Mukmin terhadap orang Mukmin yang lainnya, tidak ubah bagaikan sebuah bangunan yang bahagian - bahagian menguatkan satu sama lain." (HR Bukhari). 

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam



 

Comments