HIKMAH DI SEBALIK MUSIBAHALLAH SWT JANJIKAN PAHALA YANG BESAR, DIAMPUNKAN DOSA, DIANGKATKAN DARJAT (IMAN) SERTA KEUNTUNGAN DUNIA DAN AKHIRAT BAGI MEREKA YANG BERSABAR
YAKINLAH!!!
Musibah banjir besar yang melanda Malaysia beberapa hari yang lalu nyata menguji kesabaran kepada golongan mangsa yang menghadapinya. Manakan tidak, habis segala harta benda, rumah, kenderaan dan pelbagai barangan peribadi dibawa arus air pasang besar pada 18 Disember lalu. Kini yang tinggal hanyalah diri yang sehelai sepinggang tanpa arah tujuan. Apa yang boleh dikatakan sebagai umat Islam, inilah ujian daripada Allah SWT terhadap hambaNya untuk melihat sejauh mana tahap kesabaran kita dalam menerima dugaan ini. Firman Allah SWT:
“Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (QS An Nahl: 96).
Mungkin inilah cara teguran Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang seringkali terleka dengan urusan dunia sehingga terlupa untuk beribadah kepadaNya. Allah SWT mahu kita kembali kepadaNya, maka dengan itu Dia turunkan ujian kepada kita sebagai tanda Dia sayang kepada hamba-hambaNya. Allah SWT menyuruh hambaNya bersabar atas segala ujian. Dia sangat cinta kepada orang-orang yang sabar. Hikmah di balik kesabaran adalah kebahagiaan. Allah SWT meninggikan darjat kepada orang yang sabar. Ketahuilah, kesulitan yang diberikan oleh Allah SWT melatih untuk bersabar.
Ketahuilah, orang yang bersifat sabar merupakan orang yang sangat tenang di dunia. Apa pun ujian yang diberikan oleh Allah SWT, dia tetap dalam keadaan tenang kerana tahu bahawa apa yang akan berlaku akan tetap terjadi. Sifat sabar menjadi benteng supaya kita tidak membinasakan diri dengan dosa dan maksiat serta tidak bergaduh sesama manusia dengan penuh amarah dan dikuasai oleh baran. Percayalah kita akan disayangi Allah SWT dan disenangi oleh manusia kerana hidup sentiasa dalam keadaan tenang. Seperkara lagi, apabila diuji, sabar itu menjadi pertahanan untuk diri kita. Pada masa sama, berdoalah kepada Allah, istighfar dan berkumpul dengan orang soleh agar diri kita terus istiqamah dengan sifat sabar yang mulia ini.
Marilah kita yakini bahawa Allah SWT menjanjikan keuntungan dunia serta akhirat kepada mereka yang bersabar menghadapi ujian dan musibah yang Allah SWT turunkan. Allah berfirman:
"Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata "Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un" (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali). Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk." (QS al-Baqarah: 155-157)
Dalam ayat yang lain, Allah SWT juga berfirman:
"Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam surga) karena kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya." (QS al-Furqan: 75).
Sumber: Sinar Harian (7 Februari 2020).
Comments
Post a Comment