JADILAH MUSLIM YANG TAWADUK KERANA IA ADALAH ANTARA SIFAT CEMERLANG 'IBADURRAHMAN (HAMBA ALLAH YANG MAHA PEMURAH)



Tawaduk adalah perilaku manusia yang memiliki watak rendah hati, tidak sombong, atau merendahkan diri agar tidak terlihat sombong. Tawaduk bukan hanya sekadar pada percakapan, malah ia turut melibatkan sikap dan keperibadian seseorang. Setiap umat Islam dianjurkan untuk mengamalkan sifat tawaduk dalam kehidupan seharian. Memiliki sikap tawaduk ini merupakan salah satu cerminan seorang Muslim yang beriman kepada Allah SWT. Sikap tawaduk juga merupakan antara sifat-sifat mukmin sejati iaitu antara salah satu sifat  'Ibadurrahman (hamba-hamba Allah  Yang Maha Pemurah) yang dijelaskan dalam al-Quran surah al-Furqan ayat 63 hingga ayat 74. Mengenai sifat tawaduk adalah seperti Firman Allah SWT:

“Adapun hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih itu adalah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), mereka mengucapkan “salam.” (QS al – Furqan: 63).

Tanda-tanda orang yang rendah diri atau tawaduk adalah orang yang sentiasa tunduk akan perintah Allah SWT. Orang yang tawaduk bukan melalui pakaian yang lusuh, kata-kata yang lemah lembut, tetapi tidak solat atau tidak mengikuti syariat Allah SWT, tetapi orang yang tawaduk adalah orang yang akhlaknya terpuji, perilakunya merendah diri, orang yang taat akan perintah Allah SWT kerana takut akan azabNya. Dengan kata lain orang yang benar-benar ikhlas dalam melaksanakan segala amalan kerana Allah SWT. 

Oleh itu, amat perlu bagi seseorang mukmin untuk sentiasa menyuluh diri apakah ada nilai tawaduk di dalam hati, atau sebenarnya terselit banyak sikap takabur yang mengikis nilai-nilai kebaikan. Ini kerana apabila kita menjadi orang yang rendah diri, bukan bererti kita menghina diri. Merendah diri akan meningkatkan lagi kualiti diri seseorang manusia di sisi Allah SWT dan juga mendapat penghormatan pada pandangan manusia. Sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya Allah SWT mewahyukan kepadaku agar kalian bertawaduk, sehingga seseorang tidak merasa bangga lagi sombong terhadap orang lain dan tidak pula berlaku aniaya kepada orang lain." (HR Muslim). 

Rasulullah SAW adalah orang yang paling tawaduk. Ini dapat dilihat melalui akhlak dan keperibadian baginda yang hanya memilih untuk menjadi sangat sederhana. Walaupun kita tidak mampu untuk menjadi tawaduk seperti Baginda, tetapi kita boleh sahaja mencontohi akhlak Baginda. Biarpun sedikit, tetapi sudah memberi seribu manfaat kapada orang lain. Orang yang sentiasa tawaduk akan sentiasa melakukan kebaikan dan ini sangat disenangi Allah SWT. 

Justeru, dalam kita menyuluh kekurangan diri dan mencari kebaikan diri, jangan sesekali terhasut dengan tipu daya syaitan yang selalu mengajak manusia untuk membuat salah dalam penilaian.  Latihlah diri dan hati kita dengan nilai rendah diri supaya dengan ini akan meninggikan darjat kita di sisi Allah SWT.  

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)



Comments