KESESATAN ATEIS MENOLAK KEWUJUDAN ALLAH BUKAN SAHAJA MENOLAK KEBENARAN ISLAM BERDASARKAN AL-QURAN DAN AS-SUNNAH MALAH BERTENTANGAN DENGAN KAEDAH ILMIAH SERTA LOGIK AKAL YANG SIHAT

 

Menurut ulama Syria, al-‘Allamah Muhammad Said Ramadan al-Buti (meninggal 2013), alam semesta yang dapat disaksikan sekarang adalah daripada perkara ‘mumkin’ yang mana akal dapat menerima bahawa tidak mustahil alam semesta ini boleh ditiadakan. Dalam hal itu, akal akan menyatakan semestinya wujud kekuatan luar yang memberikan kesan kepada alam semesta dan ianya dikaitkan dengan kekuatan Tuhan.

Selain itu, kejadian dan aturan alam semesta yang amat menakjubkan membuktikan bahawa di sebaliknya sudah tentu terdapat pencipta dan pengaturnya. Mustahil ia berlaku dengan sendiri. Pencipta itulah yang mengarahkan alam semesta ‘berjalan’ menuju ke matlamat yang ditentukan.  Natijah daripada hakikat itu menunjukkan bahawa alam semesta bukan bersifat ‘qadim’ (sedia ada sejak azali dan berlaku dengan sendiri). Maka sudah tentu wujud suatu kekuasaan yang memberi kesan untuk menciptakan alam ini iaitu Allah SWT selaku Tuhan Maha Pencipta.

Semua bukti itu berupaya mengelukan lidah golongan ateis walaupun mereka sengaja berdolak-dalik dan menutup akal dengan pelbagai alasan. Golongan tersebut selalunya akan mengulang-ulang hujah kemungkinan dan kebetulan sahaja seperti mengaitkan setiap kejadian bermula dengan teori Big Bang. Namun, secara jelasnya semua keyakinan itu terpesong dan bercanggah bukan sahaja dengan al-Quran dan as-Sunnah, malah turut ditolak oleh kaedah ilmiah dan rasional akal manusia yang sihat.

Maka, benarlah kata-kata al-‘Allamah al-Buti bahawa ateisme tidak lebih daripada suatu pemikiran dan tindakan memusuhi akal yang sihat dalam mencari kebenaran. Mereka sebenarnya hanyalah mengikut hawa nafsu semata-mata demi memenuhi kepentingan dan kebebasan diri.

Sumber: Risalah isu semasa Ateisme, Satu Penelitian, JAKIM


Comments