KESESATAN SESUATU AJARAN ADALAH KERANA AMALAN AKIDAHNYA. SESAT AKIDAH MAKA TERBATALLAH KEISLAMAN SESEORANG BERWASPADALAH DENGAN KUMPULAN YANG SESAT AKIDAHNYA!!!
Islam agama yang berpaksikan kepada akidah yang benar yakni mengesakan Allah. Tauhid atau akidah menjadi kayu ukur bagi menentukan samada seseorang itu Muslim atau tidak. Selain memahami ajaran Islam, ciri-ciri ajaran sesat atau menyeleweng juga perlu diketahui dan diambil tahu agar umat Islam tidak terjebak dengan kegiatan kumpulan-kumpulan ajaran sesat yang wujud di negara kita samada melalui sebaran secara tradisional (kelas-kelas agama) mahupun melalui capaian teknologi.
Sesuatu ajaran akan menjadi sesat jika mengamalkan amalan-amalan syirik yang boleh membatalkan akidah dan mengerjakan apa-apa ritual ibadah yang tidak pernah wujud atau disyariatkan dalam Islam seperti mendakwa semua agama adalah sama, solat memadai dengan hanya niat, solat Jemaah bukan sebahagian daripada syariat Islam, arah kiblat tidak hanya kaabah mahupun mengatakan fardhu haji boleh ditunaikan selain di Mekah serta melakukan pelbagai ritual ibadah yang pelik-pelik.
Menghina, memperlekeh, menolak, menafikan hukum Allah samada melalui perbuatan, perkataan dan iktikad dikira sebagai perbuatan sesat sehingga boleh membawa kepada terbatalnya iman. Bukan itu sahaja, ajaran sesat ini turut mengundang ancaman kepada individu, keluarga, masyarakat, negara dan agama Islam.
Justeru itu, tuntutlah ilmu fardhu ain agar kita selamat daripada tipu daya syaitan yang licik. Perbanyakkan usaha menuntut ilmu dari alim ulama kerana mereka adalah pewaris nabi-nabi. Marilah kita sama-sama berpegang, menghayati dan mengamalkan al-Quran serta Sunnah Rasulullah SAW kerana dua jalan ini membawa kita kepada selamat di dunia dan di akhirat. Jauhilah dari segala ajaran yang meragukan dan mengelirukan.
Sabda Nabi yang bermaksud:
“Aku tinggalkan dua perkara yang apabila dua perkara ini kalian berpegang kepadanya maka kalian tidak sesat selamanya, yakni al-Quran dan Sunnah”
Sumber: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan- 12 Mei 2017
Comments
Post a Comment