PENYEBARAN IDEOLOGI LIBERALISME BARAT MELALUI BUKU-BUKU ILMIAH TULISAN TOKOH-TOKOH ISLAM LIBERAL BOLEH MERACUNI PEMIKIRAN UMAT ISLAM DI NEGARA INI - BERHATI-HATILAH!!!
Islam telah membebaskan manusia daripada memperhambakan diri terhadap runtunan hawa nafsu kepada mengatur hawa nafsu sesuai dengan peranan sebenar seseorang hamba Allah dalam menjalani kehidupan di muka bumi ini. Islam membebaskan manusia daripada persepsi kehidupan hanya terhad kepada dunia kepada meyakini kehidupan manusia juga melangkaui hari akhirat.
Penyataan tersebut telah menolak tanggapan kumpulan liberal yang mengatakan bahawa ajaran Islam telah menyekat kebebasan seseorang individu, sedangkan ketidakfahaman terhadap tabiat Islam yang menyebabkan mereka terus memperhambakan diri pada manusia lebih daripada memperhambakan diri pada Allah SWT.
Islam tidak menentang kebebasan, malah Islam mendukung konsep kebebasan sebagai hak dan prinsip politik yang mesti dihormati, namun kebebasan tidak boleh disalahgunakan sehingga mendatangkan kemudaratan atau mengganggu kehidupan orang lain. Sebagai contoh, tindakan kerajaan mengharamkan buku ‘Breaking the Silence: Voices of Moderation - Islam in a Constitutional Democracy’ yang dihasilkan oleh kelompok liberal G25 harus dipuji dan tindakan tersebut adalah menepati semangat menjaga agama rakyat sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan.
Buku tersebut secara jelasnya bertentangan dengan akidah dan syariat Islam seperti soal khalwat, kahwin campur agama, kebebasan untuk murtad dan banyak lagi. Selain itu, tokoh seperti Mustafa Akyol melalui bukunya ‘Islam without Extremes: A Muslim Case for Liberty’ banyak mengemukakan idea bermain dengan terma. Katanya, negara sekular berbeza dengan negara sekularis sedangkan dalam kedua-dua definisi ia tetap menidakkan Islam dalam pentadbiran negara.
Tindakan pihak kerajaan atau pihak penaja menjemput tokoh-tokoh pemikiran liberal dalam satu-satu acara kerajaan atau NGO juga perlu dipandang serius kerana ia boleh menjadikan pemikiran umat Islam lebih bercelaru. Tindakan berani golongan tersebut yang mula ‘menonjolkan diri’ di peringkat umum menunjukkan mereka menyalahtafsirkan kebebasan yang diberikan. Sedangkan Islam hanya boleh menerima prinsip kebebasan tidak melampaui batas yang ditetapkan dalam Islam dan tidak boleh sama sekali meraikan kebebasan yang melampaui batas kerana kebebasan seperti itu akan menimbulkan masalah besar kepada masyarakat umat Islam di negara ini.
Sumber: Berita Harian, 13 Oktober 2017
Comments
Post a Comment