PERHIMPUNAN 100,000 PENCARUM KWSP??? HARAM DI SISI ISLAM KERANA MEMILIH JALAN KEBINASAAN DAN KEMUSNAHAN - JANGAN SERTAI MEREKA!!!
Kebanyakan orang beranggapan demonstrasi merupakan salah satu cara menyampaikan aspirasi atau kritik demi kebaikan dan kemaslahatan. Ada juga yang beranggapan ia sebahagian dari perbuatan amar makruf nahi munkar. Akan tetapi, adakah mengadakan demonstrasi demi untuk menyatakan ketidakpuasan hati kepada pemimpin boleh dikira sebagai amar makruf nahi mungkar? Ini berikutan khabar angin bahawa akan ada satu perhimpunan menuntut pengeluaran wang KWSP RM10K one off pada hari Jumaat ini. himpunan ini dikatakan akibat ketidakpuasan hati para pencarum kepada pemimpin yang seolah-olah menafikan hak mereka yang kononnya dalam keadaan sukar. Adakah perhimpunan ini boleh dikira sebagai yang HARUS disisi syarak?
Mengikut pandangan ulama terkenal di Syria, Syeikh Ramadan al-Buthi (meninggal 2013): “Allah SWT melarang dan menegah kita daripada memperbaiki sesuatu kerosakan dengan memilih jalan-jalan kebinasaan dan kehancuran. Ini kerana tidak mungkin untuk kita memperolehi sesuatu kebaikan dengan menelusuri pelbagai bentuk kehancuran.”
Sementara Fatwa Dar al-Ifta’ Arab Saudi pula berpendirian bahawa: “Memperbaiki kerosakan tidak semestinya dengan melakukan demonstrasi dan perkara yang seumpamanya. Ia akan menimbulkan lagi api fitnah dan memecah-belahkan masyarakat. Ia boleh dikira haram kerana Islam tidak mengajar untuk mencari kemaslahatan dalam masa yang sama menimbulkan kerosakan. Maka perkara yang paling berkesan ialah saling nasihat-menasihati. Ini merupakan ajaran yang diajar oleh Nabi SAW.”
Sementara itu, tidak dinafikan lagi bahawa berdemonstrasi merupakan suatu perkara yang buruk kerana boleh membawa kepada permusuhan dan kekacauan dalam kalangan pelaku demo dengan yang lain. Boleh jadi di dalamnya juga akan berlaku maki-memaki terhadap orang lain, fitnah dan hasutan, pergaduhan, pencerobohan, gangguan terhadap ketenteraman awam dan sebagainya lagi. Ia membawa seribu satu keburukan bukannya kebaikan. Sedang membantu mereka yang melakukan kekacuan, membuat huru hara dan menghasut untuk membenci pemerintah adalah satu dosa yang perlu dijauhi malah dilarang oleh Allah SWT sama ada untuk turut membantu atau bersama dengan mereka. Allah SWT berfirman:
"Dan hendaklah kamu saling bertolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu saling bertolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan..." (QS al-Maidah: 2).
Walaupun akan ada suara-suara yang berkata “kenapa nak ikut fatwa negara lain?”, “rakyat Malaysia bebas untuk bersuara” dan sebagainya, ketahuilah bahawa sebagai umat Islam, melakukan kerosakan demi mencari sebuah solusi bukanlah satu cara yang diajarkan dalam Islam. Tidak serikkah kita dengan pelbagai perhimpunan yang pernah diadakan sebelum ini yang berhujung dengan petaka? Memilih jalan kebinasaan dan kehancuran utk membaiki keadaan adalah haram di sisi agama. Firman Allah SWT:
"Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (QS Ar – Rum: 41).
Insaflah, ambillah pengajaran dari beberapa siri peristiwa perhimpunan yang pernah diadakan sebelum ini. Adakah kebanyakannya berakhir dengan indah? Tidak! Semuanya berakhir dengan tragedi. Maka, haramlah hukumnya sesebuah perhimpunan di sisi Islam kerana memilih jalan kebinasaan dan kemusnahan. Lebih buruk, perhimpunan ini boleh dikira sebagai salah satu bentuk penderhakaan kepada golongan pemimpin. Adakah kita mahu digelar sebagai penderhaka?
Sedangkan Imam Nawawi rahimahullah berkata:
“Ada pun keluar dari ketaatan pada penguasa dan menyerang penguasa, maka itu adalah haram berdasarkan ijma’ (kesepakatan) para ulama, walaupun penguasa tersebut adalah fasik lagi zalim.”
Oleh itu, JANGAN SERTAI MEREKA!!!
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment