SOKONGAN SEGELINTIR MASYARAKAT ISLAM TERHADAP TRANSGENDER MENUNJUKKAN PENGARUH LIBERALISME SUDAH MERESAP DALAM KEHIDUPAN MASYARAKAT ISLAM DI NEGARA INI - BERHATI-HATILAH!!!
Islam liberal merupakan aliran pemikiran moden yang didakwa berjaya mensinonimkan Islam dengan falsafah pemikiran Barat. Pandangan bahawa seseorang itu berhak dan bebas melakukan apa sahaja dalam ruang peribadi adalah idea yang muncul seiring dengan kemunculan fahaman liberal yang dipelopori oleh pemikir Barat.
Menurut fahaman Islam Liberal, seseorang itu bebas untuk melakukan apa sahaja yang dianggapnya benar, meskipun bertentangan dengan agama dan nilai akhlak kerana itu adalah hak mutlak individu termasuklah kesalahan zina, khalwat, menukar jantina, LGBT, perkahwinan sejenis dan sebagainya. Sedangkan dalam ajaran Islam yang benar, tiada isitilah dan konsep dosa peribadi dan dosa awam. Pemisahan antara dua jenis dosa ini adalah suatu bid’ah yang bukan ajaran agama Islam dan merupakan perbuatan yang sangat tercela.
Kita tidak boleh menganggap dosa-dosa peribadi seperti yang dinyatakan di atas itu tidak menjejaskan kesejahteraan manusia di dunia. Setiap kesalahan itu telah ditetapkan hukumannya dalam Islam pasti memberi kesan yang buruk bukan sahaja kepada individu malah turut menjejaskan masyarakat secara kolektif. Malah menjadi kewajipan bagi setiap anggota masyarakat menghalang individu Muslim yang melakukan dosa sebagai melaksanakan perintah Allah untuk menjalankan 'amar makruf nahi mungkar' (menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran).
Sebagai contoh mereka yang berfahaman liberal memandang baik kepada kebebasan individu Muslim dalam menukar agama dan jantina. Pihak berkuasa tidak mempunyai sebarang hak untuk menyekat mereka daripada berbuat demikian. Hal inilah yang terjadi kepada seorang usahawan terkenal yang dikenali sebagai Sajat. Walaupun secara jelasnya perbuatan transgendernya itu menyalahi hukum hakam agama Islam tetapi ternyata terdapat segelintir masyarakat Islam yang menyokong tindakannya atas alasan memperjuangkan hak kebebasan atau hak individu seperti yang dicanang dipelbagai media sosial.
Jika dilihat dari skop yang lebih besar, pengaruh yang dibawa usahawan tersebut sehingga ke negara luar sedikit sebanyak bukan sahaja mencalarkan imej negara mahupun imej agama Islam, malah apa yang lebih teruk adalah ianya mampu untuk memberi ancaman kepada ketenteraman awam kerana telah membentuk sebuah kelompok yang akan mempertahankan hak kebebasan yang siap sedia untuk berjuang untuk mendapatkan haknya. Isu usahawan tersebut yang mendapat liputan dunia turut menjadi punca kepada segelintir masyarakat yang turut terpengaruh dengan fahaman liberalisme bahawa ianya satu normalisasi yang tidak menyalahi agama. Fikir-fikirkan bencana besar yang akan berlaku dalam masyarakat kerana ‘seorang transgender’. Jika tidak dibendung bukankah ianya bakal menjadi satu normalisasi dalam masyarakat Islam Malaysia? Renung-renungkan.
Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu
Comments
Post a Comment