TAKSUB KEPADA 'TOK GURU' YANG DIANGGAP SAKTI DAN MENGETAHUI PERKARA- PERKARA GHAIB (KHASYAF) MENJADI PUNCA UTAMA RAMAI YANG TERPENGARUH DENGAN AJARAN SESAT


 Sejak dahulu lagi salah satu cabaran utama dalam mengembangkan agama Islam ialah wujudnya anasir-anasir yang cuba memesongkan akidah umat Islam, malah sehingga kini ia semakin berkembang dan semakin mendapat sokongan masyarakat akibat kejahilan umat Islam sendiri tentang ilmu agama.

Ajaran sesat boleh berkembang kerana masyarakat yang jahil ilmu agama sangat mudah percaya kepada perkara-perkara ghaib dan sakti atau ada kuasa tertentu yang boleh memberi manfaat terutamanya dalam hal keduniaan. Perkara ghaib ini adalah sesuatu yang sememangnya dijelaskan oleh Al-Quran dan hadis tetapi dalam batas-batas tertentu yang mentauhidkan Allah dan bukan dalam perkara yang mensyirikkan dan yang boleh membatalkan keislaman seseorang.
Justeru itu, disebabkan kejahilan agama, pengikut-pengikut ajaran sesat ini amat mudah sekali terpengaruh dan percaya kepada sesuatu perkara ghaib yang dikemukakan oleh guru-guru ajaran sesat yang memutar belitkan ayat-ayat al-Quran dan hadis berdasarkan akal dan nafsu semata-mata sehingga pengikut-pengikutnya tidak lagi dapat melihat kesesatan yang disampaikan.
Ajaran sesat seperti ajaran Ayah Pin biasanya mengguna logik akal sehingga amat logik untuk diterima oleh penganut-penganutnya yang jahil agama kerana ia bersesuaian dengan keperluan dan kehendak bagi mereka yang ingin mencari ilmu dan kelebihan dengan tujuan keduniaan. Mereka selalu ditipu dengan alasan bahawa ajaran yang disampaikan adalah ilmu yang dimiliki oleh Rasul-Rasul dan wali-wali yang dirahsiakan kepada orang ramai.
Sebab itulah ajaran sesat seperti ajaran Ayah Pin dan lain-lain lagi, menurut penganutnya adalah begitu bernilai sekali dan menganggap ajaran Islam yang difahami oleh masyarakat umum adalah seperti barangan murah yang dijual dan dilelong di kaki lima sahaja yang tidak berharga dan boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja.
Kesimpulannya, semua pihak perlu memainkan peranan untuk membanteras ajaran sesat yang semakin berkembang ini. Masyarakat merupakan golongan pertama yang mampu menghidu atau mengetahui sama ada wujud sebarang aktiviti berkaitan ajaran yang menyimpang daripada ajaran Islam yang benar di kawasan yang mereka duduki. Kemudian, imam-imam masjid, ketua masyarakat dan pihak penguasa perlu sentiasa peka dengan aduan dan pertanyaan yang dikemukakan.
Pada masa yang sama, apa yang paling penting ialah kriteria-kriteria ajaran sesat perlu disebarkan untuk maklumat awam. Hal ini kerana, golongan yang kurang arif dengan agama akan mudah terpengaruh kepada amalan agama yang mencari jalan pintas ke syurga, amalan-amalan yang mudah dilakukan dan sesuai dengan corak hidup mereka.
Sumber: Jurnal Syariah, 2010. Vol. 18(2) dan Jabatan Agama Islam Johor.

Comments