TERUSKANLAH MENJADI MANUSIA TERBAIK YANG SENTIASA MEMBERI KEBAIKAN KEPADA ORANG LAIN AGAR DIBERKATI ALLAH SWT DI DUNIA DAN AKHIRAT

 


Sabda Rasulullah SAW: 

"Sebaik-baik manusia di antaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain." (HR Bukhari dan Muslim).

Menjadi manusia yang banyak memberi manfaat kepada orang lain adalah satu sifat yang sangat disukai oleh Allah SWT. Mengambil kira krisis banjir besar yang melanda Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur baru-baru ini, bukan sahaja badan bukan kerajaan (NGO) yang turun padang dalam membantu mangsa-mangsa banjir tetapi orang perseorangan juga ada yang berbuat demikian. Mengambil contoh seorang pemuda yang berasal daripada Melaka, Saudara Azwan Omar. Beliau hanya berbekalkan RM50, sebuah kereta Perodua Viva dan sebuah bot datang berseorangan untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang terperangkap.

Kisah beliau ini sangat menginspirasikan rakyat Malaysia. Beliau bukanlah sesiapa, tidak punya nama, pangkat, harta jauh sekali populariti. Namun, dek kerana niat ikhlasnya untuk membantu mangsa-mangsa banjir, namanya terus dikenali. Apa pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah beliau? Biar sesusah manapun diri kita, cubalah untuk menjadi seseorang yang memberikan manfaat kepada orang lain. Allah SWT tidak mengukur berapa harta yang kita ada, berapa banyak aset yang kita simpan untuk membantu golongan yang memerlukan. Sebaliknya Allah SWT melihat hati yang bersih dan ikhlas membantu kerana nawaitunya kepada Allah SWT. 

Firman Allah SWT:

"Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh." (QS Ali ‘Imran: 114).

Oleh itu, manfaatkanlah hidup kita dengan sebaik-baiknya. Biarlah apa yang kita lakukan turut memberi manfaat kepada orang lain. Jangan pernah berhenti untuk memberikan manfaat kepada orang lain yang di dalam kesusahan meskipun ada yang mengata di belakang. Hanya Allah SWT yang layak menilai diri kita dan bukannya manusia. Teruskanlah menjadi manusia yang sebaik-baiknya dalam memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan untuk memperoleh keberkatan di dalam hidup. Ingat, berbuat baik sesama manusia dan memberikan manfaat kepada mereka akan mendapatkan balasan pahala dan syurga yang setimpalnya. 

Seorang Muslim diperintahkan untuk memberi manfaat kepada orang lain, bukan hanya mencari manfaat dari orang lain.  Ketahuilah bahawa segala bantuan dan kebaikan yang kita hulurkan kepada orang lain, semua kebaikan itu akan kembali untuk kebaikan kita sendiri. Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa yang memberi kemudahan pada orang yang berada dalam kesulitan, maka Allah akan memberi kemudahan di dunia dan di akhirat." (HR Muslim).

Sumber: Berita Harian Singapura (2 September 2021)


Comments