AJARAN TASAWUF SESAT TOK GURU HAJI SHAARI!!! MENDAKWA AJARAN WARISAN TOK KENALI (ULAMA TERKENAL DI KELANTAN, 1868-1933) UNTUK MEMPENGARUHI UMAT ISLAM - BERHATI-BERHATILAH!!!

 


Ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) meliputi ajaran-ajaran Islam mengenai akidah, syariah dan akhlak yang mana pegangannya berakar umbi daripada ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW serta para Sahabat Baginda SAW. Kemudian ia disusun dengan lebih bersistem untuk memudahkan pemahaman terutamanya dalam hal akidah oleh ulama-ulama terkemudian.  Dua tokoh utama yang menjadi rujukan seluruh umat Islam dalam bab akidah ASWJ ialah Imam Abu al-Hassan al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

Antara ciri utama ajaran Islam ASWJ adalah berpegang dan mentafsirkan hukum-hukum Islam berdasarkan empat sumber utama iaitu al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qias tanpa mengabaikan peranan atau kepentingan setiap satu daripadanya. Pegangan ini dipraktikkan dalam hal kepercayaan/keyakinan (akidah), pengamalan ibadah (syariat) dan keperibadian (akhlak) kita sebagai seorang Muslim. Sesungguhnya, apabila wujud kepercayaan atau keyakinan, pengamalan syariat dan akhlak yang menyalahi pegangan yang digariskan oleh Al-Quran, as-Sunnah, ijmak ulama salaf dan Qias, maka ia bukan berdasarkan ajaran Islam yang benar mengikut ajaran ASWJ yang dijanjikan selamat daripada penyelewengan dan kesesatan. 

Baru-baru ini tular sebuah video kisah seorang ‘tok guru’ yang dikenali sebagai Tuan Guru Haji Shaari yang menyampaikan ilmu-ilmu makrifat warisan daripada ayahandanya Hj. Mohd Yusof Cik Wook berkenaan dengan ajaran yang didakwa sebagai ajaran peninggalan Tok Kenali iaitu seorang ulama dan wali Allah yang terkenal di Kelantan (1868-1993). Menggunakan nama tokoh ulama terkenal yang dianggap sebagai wali Allah itu, ajaran Tok Guru Haji Shaari tersebut penuh dengan kesesatan, yang sama sekali tidak membawa ajaran tokoh ulama Tok Kenali yang alim lagi zuhud yang mengajar ilmu Islam yang benar itu.

Dalam video tersebut, dia (Tok Guru Haji Shaari) cuba memperleceh syariah Islam dan ulama-ulama yang mengajarkan syariah yang benar dengan dakwaan palsu kononnya ulama yang mengajar syariah Islam sebenarnya telah mengubah ajaran agama. Malah tok guru tersebut telah membawa ajaran tasawuf yang melampau dan sesat yang sama sekali bercanggah dengan ajaran Islam yang benar mengikut pemahaman al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias sama ada dari segi akidah, syariat mahupun akhkak Islam.

Aliran tasawuf yang melampau itu didapati berpunca daripada dakwaan kononnya Rasulullah SAW mengajar sahabatnya ilmu hakikat yang tidak didedahkan kepada sahabat lain. Perkara ini merupakan satu tohmahan karut terhadap Rasulullah SAW bahawa baginda menyembunyikan ilmu yang diperintahkan Allah untuk disampaikan kepada semua.

Aliran pemikiran sebegini mampu merosakkan akidah umat Islam dan membawa kepada kesesatan kerana memecahkan agama Islam kepada syariah dan hakikat. Dikebanyakan negeri di Malaysia seperti Selangor, Johor dan lain-lain telah mengeluarkan fatwa bahawa Ajaran dan Fahaman Ilmu Makrifat (Mengenal Allah) dan Ajaran dan Fahaman Mengenal Diri iaitu ilmu atau Ajaran Peninggalan Tok Kenali Kelantan oleh Mohd Yusof Che Wook yang disebarkan oleh Shaari bin Mohd Yusof adalah bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar kerana mengandungi elemen-elemen seperti berikut:
i. Berpegang kepada konsep Wahdatul Wujud;
ii. Berpegang kepada fahaman Jabbariah
iii. Menafsir ayat al-Quran mengikut logik akal;
iv. Berpegang kepada konsep Nur Muhammad;
v. Cuba menyebarkan fahaman pluralisme agama; dan
vi. Pembahagian ilmu syariat, hakikat dan makrifat yang meragukan.

Kesimpulannya, berpeganglah hanya pada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah nescaya ia diyakini merupakan satu pegangan yang berakar umbi daripada ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat Baginda.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor – Bil 2/May 2021.


Comments