BAHAYA ANTI-HADIS!!! MENOLAK HADIS DAN HANYA INGIN BERPEGANG PADA AL-QURAN SAHAJA TETAPI MASIH MENGANGGAP DIRI MEREKA BENAR
Baru-baru ini tular video tiktok seorang makcik yang berumur 60an, berpenampilan tidak bertudung dan ada video-video yang dipaparkan memegang botol arak. Makcik tersebut mendakwa bahawa perbuatannya itu tidak salah kerana dia adalah seorang yang berpegang kepada al-Quran (Quranis). Menurutnya lagi, Islam ada banyak, bukannya semua umat Islam perlu mengikut ‘Islam Malaysia’, maka perbuatannya itu tidak perlu ditegur kerana dia mendakwa mengikut Islam sebenar seperti dalam al-Quran. Sedangkan apa yang dilakukan adalah hanya menterjemah makna tiap-tiap perkataan dalam al-Quran tersebut sahaja, bukannya berdasarkan tafsir al-Quran yang betul. Malah menggunakan akal sendiri untuk mentafsirkan terjemahan ‘word by word’ dalam al-Quran tersebut.
Quranis atau juga dikenali sebagai anti hadis adalah Muslim yang mengikut al-Quran dan menganggap kitab suci tersebut adalah hanya satu-satunya sumber dalam Islam. Mereka yang kebanyakannya adalah umat Islam progresif menganggap diri mereka tidak termasuk dalam mana-mana mazhab (Syafie, Hanafi, Maliki, Hanbali) kerana mereka tidak menerima hadis Rasulullah SAW tetapi hanya berpegang kepada al-Quran sahaja mengikut tafsiran akal mereka. Kesesatan ini sangat bahaya malah boleh mengeluarkan seseorang daripada (Islam) kerana mana mungkin seseorang boleh menafsirkan al-Quran jika tidak berpandukan hadis-hadis Nabi SAW. Al-Quran hanya menjelaskan dasar-dasar secara umum untuk dijadikan panduan tetapi penjelasannya perlu dirujuk kepada hadis Rasulullah SAW yang mempraktikkan arahan dalam al-Quran tersebut untuk diikuti oleh umat Islam.
Imam Syafie sendiri menceritakan dalam kitab Jami’ al-Ilm bagaimana telah wujudnya kelompok seperti ini pada zaman tersebut yang menggunakan hujah-hujah yang sama sepertimana golongan Quranis atau anti hadis gunakan pada hari ini. Hujah bahawa al-Quran telah sempurna tanpa hadis, hujah bertembungnya al-Quran dan hadis, hujah cara periwayatan hadis yang meragukan, semuanya telah dijawab oleh ulama-ulama terdahulu semenjak ribuan tahun yang lalu.
Bahkan ulama semenjak zaman dahulu lagi telah menyatakan kelompok yang membawa kefahaman songsang ini bukanlah daripada umat Islam. Seperti mana menurut Imam Sayuti dalam kitab Miftah al-Jannah: “Sesiapa yang mengingkari hadis nabi sama ada pada kata-kata atau perbuatan maka dia telah kufur dan terkeluar daripada Islam”.
Perkara ini menunjukkan bahawa apa yang dicari oleh mereka dalam hujah-hujahnya bukanlah kebenaran, tetapi ianya adalah kefahaman yang cuba disuntik ke dalam jiwa umat Islam bagi merosakkan agama Islam itu sendiri. Mereka ini adalah rantaian kepada kumpulan musuh Islam yang selama ini cuba merosakkan Islam dari dalam, menyesatkan umat Islam dan merupakan bala kepada umat ini. Berkata Syeikh Abdullah Baz:
“Mereka ini iaitu golongan yang menolak hadis sebenarnya telah melakukan mungkar yang sangat besar, bala yang sangat hebat (terhadap umat) dan maksiat yang besar (kepada Allah dan Rasul).
Sumber: MAJLIS ULAMA ISMA (MUIS) – 28 FEB 2017.
Comments
Post a Comment