Dalam ajaran Islam, tawakal adalah membebaskan diri dari segala ketergantungan selain Allah SWT dan menyerahkan keputusan atas segala sesuatunya hanya kepada Allah SWT. Hal ini pula yang membuat tawakal disebut sebagai perbuatan menyerahkan segala perkara, ikhtiar, dan usaha kita kepada Allah SWT. Allah menjanjikan akan memberi kecukupan kepada hambaNya yang bertawakal kepada Allah iaitu berserah diri kepada Allah setelah melakukan usaha yang sebaiknya dalam setiap pekerjaan. Firman Allah SWT:
"Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya." (QS At – Thalaq: 3).
Sementara itu, tawakal juga merupakan bagian dari iman. Iman yang sempurna adalah apabila seseorang itu benar-benar berserah diri kepada Allah SWT dalam setiap keadaan. Allah SWT berfirman:
"Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman."(QS al-Maidah: 23).
Dalam kehidupan ini, sebagai umat Islam kita jangan sesekali menyerah kalah atau rasa berputus asa. Ini kerana Allah SWT membenci hambaNya yang berputus asa. Bukankah Allah SWT telah menjanjikan kepada para hambaNya bahawa sesiapa yang berusaha pasti akan berjaya? Cuma yang membezakannya adalah lambat dan cepat sahaja. Sebenarnya, tawakal mempunyai dua syarat yang perlu dipenuhi ialah yakin dan berpegang kepada Allah dan yang kedua, melakukan semua asbab atau berusaha bersungguh-sungguh. Jika tidak disertakan dua syarat tersebut, maka tawakalnya tidak tepat.
Tawakal kepada Allah adalah sebesar-besar ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia menjadi syarat kepada iman dan Islam kerana peringkat tertinggi dalam melakukan amal soleh adalah tawakal. Ini seperti mana Firman Allah SWT:
“Kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.” (QS Ali ‘Imran: 122).
Apabila hati Mukmin berpegang kepada Allah SWT dalam urusan dunia dan akhirat maka keikhlasan akan terbit dan hubungannya dengan Allah SWT makin kukuh. Bukan itu sahaja, malah keyakinan dan kepercayaannya kepada Allah SWT makin bertambah. Bahkan, Mukmin yang sentiasa bertawakal juga akan diberi kelebihan ganjaran syurga tanpa hisab.
Medan tawakal amat luas dan hal-hal yang berkaitan dengannya mencakupi segala apa pun yang dituntut manusia dan yang dinginkannya dari berbagai urusan dunia serta agama. Jika disebutkan kata tawakal, tidak ada yang terlintas di benak kebanyakan orang kecuali rezeki. Dengan kata lain, dia bertawakal kepada Allah SWT dalam mencari rezeki, kerana Dialah yang menjamin hamba-hambaNya, sebagaimana Dia telah menjamin semua makhluk melata di bumi.
Justeru, dalam kehidupan yang mencabar pada hari ini marilah kita tingkatkan tawakal kepada Allah SWT di samping melakukan tugasan dengan bersungguh-sungguh. Alangkah baiknya amalan seseorang jika ada sifat tawakal kerana banyak kelebihan yang diperoleh di dunia dan di akhirat.
Sumber: Utusan Malaysia (15 September 2020)
Comments
Post a Comment