DUNIA MASIH DILANDA MUSIBAH COVID-19 PERBANYAKKAN ISTIGHFAR KEPADA ALLAH SWT AGAR DIPERMUDAHKAN KESULITAN DAN DIBERIKAN KEBAIKAN

 


Memang tidak dapat dinafikan dunia pada hari ini masih lagi belum pulih daripada musibah jangkitan Covid-19. Malah, pelbagai varian baru pula yang ditemui dan menjangkiti penduduk di seluruh dunia. Ada di kalangan kita yang sudah mula putus asa dengan dugaan yang diturunkan oleh Allah SWT ini. Akan tetapi sebagai umat Islam, adakah kita diajar untuk berputus asa? Sememangnya dugaan ini memberikan impak yang sangat besar kepada kita semua tetapi Rasulullah SAW sudah mengajarkan kepada kita semua agar selalu istighfar, sabar dan redha atas ujian Allah ini. Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (HR Abu Daud).

Seharusnya dalam keadaan yang genting sekarang, kita perlu memperbanyakkan istighfar dan taubat kerana keutamaannya yang sangat besar dan Allah SWT yang memerintahkan hamba-Nya supaya sentiasa beristighfar serta bertaubat kepada-Nya. Musibah ini masih juga belum reda kerana mungkin ada sebahagian daripada kita yang masih lagi alpa dan lalai dalam mengerjakan kewajipan kita sebagai umat Islam dengan beribadah kepada Allah SWT. Sebenarnya, kita yang zalim kepada diri sendiri. Jika ada yang rasa dia tidak bersalah atau tidak berdosa, itu satu masalah besar. 

Rasulullah SAW telah memberi contoh kepada umatnya untuk memperbanyakkan istighfar. Ini kerana manusia tidak luput daripada melakukan kesalahan dan dosa, sehingga kita digalakkan untuk menjadikan istighfar sebagai amalan yang tidak lekang daripada mulut kita. Sebagai umat Baginda SAW yang tidak sunyi daripada melakukan dosa dan kesilapan, sewajarnya kita sentiasa lebih banyak memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah SWT pada setiap masa.

Mari kita melazimkan diri beristighfar memohon keampunan kepada Allah. Kalau kita tidak dapat beristighfar banyak, pastikan sekurang-kurangnya kita ada beristighfar walaupun sedikit. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa kita dan meluaskan rezeki kita. Perbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada Allah SWT semoga kita dimurahkan rezeki, lakukanlah dengan penuh penghayatan. Ini kerana Allah SWT akan sentiasa melipatgandakan pahala bagi mereka yang beristighfar. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.” (QS An – Nisa’: 40).

Sumber: HarakahDaily.net (24 Mac 2020).

Comments