Bermula dari zaman Nabi Muhammad SAW sehingga kini, umat Islam tidak pernah sunyi daripada berhadapan dengan isu penyelewengan akidah dan penyebaran ajaran sesat. Di Malaysia, ajaran sesat mula dikesan sebelum tahun 1950an lagi. Kebanyakan ajaran sesat bergerak secara senyap-senyap atau tanpa disedari menyebabkan ianya sukar dikesan dan dibanteras oleh pihak berkuasa agama dengan lebih awal.
Penyelewengan dalam ajaran sesat ini boleh dikategorikan kepada dua kategori utama iaitu penyelewengan dari sudut akidah dan penyelewengan dari sudut syariah. Penyelewengan dari sudut akidah contohnya seperti menyentuh kepercayaan kepada Allah iaitu manusia dapat bercantum dengan zat Allah sehingga dapat melihat dan menggambarkan sifat Allah di hadapan mata. Mengaku diri sebagai Imam Mahdi, mengaku diri sebagai Nabi Isa, mengaku diri sebagai Rasul setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW, mengaku menerima wahyu dari Allah melalui mimpi dan sebagainya turut termasuk dalam aspek penyelewengan dari sudut akidah.
Penyelewengan dari sudut syariah pula adalah seperti menambah atau mengubah rukun dan syarat solat sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syariat Islam atau menyatakan solat hanya cukup dengan niat. Kemudian, ia menafikan kewajipan berpuasa, melakukan ibadah puasa hanya dengan niat sahaja, menafikan kewajipan berzakat dan zakat hanya memadai dengan mengeluarkan kepada tok gurunya sahaja. Bahkan ajaran tersebut turut mengajar pengikutnya untuk tidak perlu mengerjakan ibadah haji kerana cukup sekadar dengan membayar sejumlah wang tertentu kepada tok guru sebagai ganti dan boleh mengerjakan ibadah haji ditempat lain selain Mekah dan Madinah.
Kesannya, ajaran sesat ini akan merosakkan akidah dan pengamalan syariat seseorang kerana ia mampu menyebabkan minda seseorang tertutup disebabkan telah dikuasai oleh pemimpin mereka yang akhirnya akan menimbulkan sikap fanatik sehingga mendorong pada tindakan yang tidak masuk akal. Sesunggunya akidah, syariah dan akhlak Islam aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah berperanan menyatupadukan umat dan menjamin keamanan serta kestabilan negara. Pengamalan ajaran sesat ini dianggap sebagai satu usaha untuk mengacau bilaukan kestabilan dan keharmonian negara yang bukan sahaja memberi kesan buruk terhadap individu tetapi juga kepada keluarga dan masyarakat.
Sumber: Jurnal Peradaban-Bil.3 (2010), Universiti Malaya
Comments
Post a Comment