Antara sifat terpuji yang melambangkan ketinggian budi pekerti Muslim dan ketebalan imannya adalah sifat malu. Malahan, yang lebih menariknya sifat malu ini adalah satu petanda yang membuktikan iman itu bertapak kukuh dalam sudut jiwa sanubarinya, sebaliknya jika seseorang tidak mempunyai rasa malu bermakna dia kehilangan imannya. Ini sebagaimana yang ditegaskan sendiri oleh Rasulullah SAW yang bersabda:
"Malu dan iman itu adalah teman yang seiring jalan. Jika salah satu daripadanya terangkat (tiada), nescaya terangkat (tiada) juga yang satu lagi." (HR Muslim).
Akan tetapi, amat menyedihkan pada hari ini apabila segelintir umat Islam sudah mula hilang malunya hanya kerana ingin mendapatkan perhatian di media sosial. Lambakan video tarian trending yang mengghairahkan terpampang di serata media sosial dan kebanyakannya melibatkan umat Islam. Tidak kira lelaki atau perempuan, semuanya terlibat hinggakan membatasi syariat agama Islam.
Seharusnya sebagai umat Islam, kita patut tahu batas-batas sebagai seorang Muslim. Tahukah kita bahawa sifat malu ini telah diberi kedudukan yang istimewa dalam Islam? Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Sesungguhnya bagi setiap agama ada tata susilanya atau ciri-ciri istimewanya, maka untuk Islam ialah sifat malu." (HR Malik).
Tidak salah untuk mencari hiburan atau ingin berada di media sosial, tetapi 'content' yang disediakan haruslah bertepatan dengan syariat Islamiah. Amatlah wajar bagi setiap Muslim menghiasi dirinya dengan sifat malu kerana sifat itu adalah lambang kepada kesempurnaan iman seseorang kepada Allah. Lebih-lebih lagi, sifat malu mampu bertindak sebagai perisai atau benteng bagi seseorang Muslim daripada terjerumus ke lembah kederhakaan dan kehinaan. Justeru, sifat malu sewajibnya dihiaskan pada setiap individu masyarakat bermula dari individu Muslim, ibu bapa, anak, pemimpin dan rakyatnya. Individu Muslim yang bersifat malu merupakan Muslim yang soleh dan bertakwa kepada Allah Taala.
Sabda Rasulullah SAW:
Malu itu sebahagian daripada iman, iman itu tempatnya di dalam syurga nanti. Kelancangan mulut pula terbit dari hati yang keras dan tempatnya sudah pasti dalam neraka." (HR Ahmad)
Sumber: Harian Metro (19 Januari 2022)
Comments
Post a Comment