JADILAH SEORANG MUSLIM YANG DERMAWAN NESCAYA AKAN LEBIH DEKAT DENGAN ALLAH SWT DAN DIJAUHKAN DARI NERAKANYA


Sifat dermawan dan murah hati perlu terbit dalam setiap diri umat Islam dan menjadi amalan dalam kehidupan. Sikap sedemikian adalah sebahagian daripada akhlak mulia umat Islam yang mampu menjadikan masyarakat makmur, sejahtera dan penuh semangat persaudaraan. Hal ini kita dapat saksikan apabila seluruh umat Islam di negara ini berganding bahu dalam membantu mangsa-mangsa banjir tanpa mengira bangsa dan agama. Walaupun ada di sesetengah tempat sudah mulai surut, tetapi semangat mereka tidak pernah surut dalam terus memberi bantuan kepada mangsa-mangsa berkenaan.

Firman Allah SWT:

“Barangsiapa meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik, maka Allah akan mengembalikannya berlipat ganda untuknya, dan baginya pahala yang mulia.” (QS Al – Hadid: 11).

Dapat dilihat bagaimana sifat dermawan atau murah hati rakyat Malaysia hari ini yang sangat mengagumkan terutamanya dalam soal kebajikan sesama sendiri. Mereka tidak pernah berkira dalam memberi bantuan. Malah, tidak keterlaluan jika dianggap rakyat Malaysia khususnya umat Islam mempunyai sikap dermawan yang amat tinggi dan prihatin. Pantang terdengar ada musibah atau ujian yang menimpa saudara seagamanya, maka segerombolan akan hadir dengan segera untuk memberi pertolongan. Bahkan, sehingga ada beberapa kawasan banjir yang sudah surut airnya, mereka masih tidak berganjak dan terus memberikan bantuan serta sokongan moral. 

Alhamdulillah, kita bersyukur kerana ramai umat Islam di negara ini yang sedar, jika mereka bersifat kedekut dan bakhil dalam memberikan bantuan, nescaya Allah SWT akan menarik rezeki mereka pada bila-bila masa. Mereka sedar bahawa nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita sama ada dalam bentuk ilmu atau harta benda hendaklah kita kongsi dan infaq kepada mereka yang memerlukan. Ingatlah, orang yang dermawan dan mempunyai sifat murah hati akan disenangi oleh Allah SWT dan sesama manusia. Sebagai seorang Muslim, kita hendaklah yakin bahawa setiap harta yang kita infaq tidak akan berkurang, bahkan akan bertambah keberkatannya di sisi Allah SWT serta akan mendapat ganjaran dariNya. Sabda Rasulullah SAW:

"Orang yang dermawan dekat dengan Allah, dekat kepada manusia, dan dekat dengan surga. Seseorang yang kurang pandai tetapi dermawan lebih disukai Allah daripada orang yang alim tetapi bakhil." (HR Thabrani).

Sumber: Portal e – Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan


 

Comments