Sifat sombong merupakan salah satu daripada penyakit hati yang mana orang yang selalu bersifat sombong ini akan sentiasa merasa bangga dan memandang tinggi terhadap diri sendiri. Seseorang itu boleh bersikap sombong kepada orang di sekelilingnya jika dia mendapati kedudukannya lebih tinggi berbanding orang di sekelilingnya. Kesombongan juga boleh berlaku apabila manusia mendapati keturunannya, sifat lahiriahnya sama ada cantik, kacak atau perkasa ataupun kaya dari segi material adalah lebih berbanding dengan orang lain. Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, karena sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembus bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-gunung.” (QS Al – Isra’: 37).
Ayat dari surah Al – Isra’ di atas merupakan peringatan Allah SWT kepada orang yang sombong. Benar, apalah yang ada pada kesombongan itu. Kita tidak akan pernah dapat menembusi bumi dan tidak pula dapat membawa kita terjulang setinggi gunung. Bermakna, sombong tidak mempunyai nilai apa-apa kepada kita. Sombong kepada sesama manusia, bukan hanya menjadikan hubungan renggang. Malah ia menghadirkan kebencian dan kemarahan di kalangan manusia itu sendiri. Bukan simpati atau sokongan yang diraih, tetapi meluat pula jadinya. Malah Rasulullah SAW juga memberi amaran bahawa sesiapa yang berlaku sombong tidak akan dapat masuk ke dalam syurga. Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sifat sombong, walaupun hanya seberat biji sawi.” (HR Muslim).
Ingatlah, Allah SWT sangat membenci para hambaNya yang mempunyai walaupun sekelumit sifat sombong di dalam hati kerana ianya merupakan sifat yang tercela, jadi elakkanlah. Sifat sombong ini tidak membawa sebarang faedah. Malah ia hanya akan membawa kebencian Allah SWT dan manusia itu sendiri. Namun, kadang-kadang ia boleh membawa kepada isu yang lebih parah apabila kesombongan itu menjadikan individu berkenaan enggan tunduk kepada kebenaran atau meremehkan kebenaran tentang Islam. Inilah puncak kesombongan yang amat dimurkai oleh Allah SWT sehingga Allah SWT mengharamkan syurga bagi sesiapa yang bersifat sombong iaitu menolak kebenaran Islam walaupun hanya sedikit.
Sumber: Sinar Harian (2 April 2019)
Comments
Post a Comment